Arau, Perlis- Persatuan Belia Harmoni UiTM Perlis terus mengorak langkah dalam membantu murid sekolah yang keciciran dalam kemahiran membaca, menulis dan mengira dengan penganjuran Program Harmoni Bantu Baca Siri 3. Program ini merupakan kesinambungan daripada program Bantu Baca Siri 1 dan 2 yang telah dijalankan sebelum ini di Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah Arau Perlis melibatkan lebih kurang 100 orang murid dan 200 fasilitator dalam kalangan mahasiswa yang berjalan secara berkala selama sebelas minggu dari 21 Oktober 2023 hingga 9 Jun 2024. Selain membaca dan menulis, elemen pembangunan soft skill juga dimasukkan dengan aktiviti kecergasan dan explorace yang dilaksanakan di akhir program.
Program dimulakan dengan senaman ringan untuk kecerdasan fizikal murid sebelum belajar. Seterusnya, pembahagian kumpulan bersama fasilitator, sesi mengajar dan diakhiri dengan sesi aktiviti permainan dalam kumpulan untuk peningkatan soft skills murid. Sesi permainan dalam kumpulan adalah sesi kemuncak yang mana murid diuji dengan kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran pengucapan awam. Murid dilatih untuk berani bercakap di hadapan khalayak dan berani memberi pendapat.
Secara keseluruhan, program berjalan lancar dan mendapat sambutan yang sangat baik daripada murid dengan jumlah kehadiran yang sangat memuaskan . Program ini mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa dan pihak sekolah dan akan diteruskan lagi pada masa akan datang demi membantu murid-murid yang lemah dan berkeperluan.