Hari Terbuka Program Pra Pendidikan Tinggi Disambut Meriah dan Berinformasi

17 Julai 2019 – Pejabat  Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT), UiTM telah menganjurkan Hari Terbuka bertempat di Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam. Hari Terbuka PPT  yang julung-julung kali diadakan ini telah berlangsung dengan meriah.

Tetamu yang hadir adalah terdiri dari pegawai-pegawai Pejabat Pendidikan Daerah dan guru-guru kaunselor dari Wilayah Persekutuan, Selangor dan Putrajaya.

Turut menjayakan program ini adalah alumni PPT, rakan strategik PPT iaitu Bahagian Pengambilan Pelajar (BPP), INED, Pusat Zakat, Sedekah & Wakaf (PZSW) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli. Pada minggu yang sama, program hari terbuka  PPT turut akan diadakan di 13 kampus UiTM Negeri di seluruh semenanjung, Sabah dan Sarawak. Hari terbuka ini berlangsung mulai dari 17 Julai hinga 31 Julai 2019.

Tujuan utama program ini adalah untuk mendekati guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia.

Melalui  program hari terbuka yang berlangsung, PPT bersama rakan strategik telah membuka pintu dengan seluas-luasnya kepada guru-guru kaunselor yang hadir untuk mendapatkan maklumat terpeinci mengenai peluang melanjutkan pengajian di  UiTM melalui program Pra Diploma.

Diantara objektif program hari terbuka  adalah untuk:

  1. Memperkenalkan Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) yang dahulunya dikenali sebagai Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB)
  2. Menjalin dan mengukuhkan kerjasama dengan Rakan Guru PPT di sekolah-sekolah di seluruh Malaysia
  3. Menyampakan watikah lantikan kepada Rakan Guru PPT
  4. Memberi penerangan yang lebih terpeinci mengenai program PPT dan kemudahan kewangan yang disediakan kepada calon-calon Pra Diploma.

Program Pra Pengajian Tinggi UiTM adalah program yang memberi laluan khas dan istimewa kepada calon atau pelajar bumiputera  dari golongan B40 dan juga atlet negara. Mereka  mungkin dari kalangan calon yang tidak berjaya mendapat tempat di institut pengajian tinggi awam kerana tidak memenuhi syarat keperluan pengajian.

Namun, pada hakikatnya para pelajar ini mempunyai potensi yang besar untuk melangkah lebih jauh dan berjaya. Kemiskinan dan hidup di dalam serba kekurangan tidak harus menjadi penghalang kepada mereka untuk terus maju.

Sehubungan dengan itu, guru-guru kaunselor telah dilantik sebagai Rakan Guru  PPT bagi menyampaikan maklumat kepada golongan sasar ini.  Secara keseluruhan, guru-guru kaunseling yang hadir semasa majlis hari terbuka PPT ini telah memberi respon yang positif terhadap informasi yang disalurkan kepada mereka.

1
0