Hari Keluarga Jabatan Pengurusan (BA111) UiTM Pahang

Tempoh kawalan pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 telah sedikit sebanyak memberikan kesan kepada cara kita bekerja. Dahulunya, pertemuan fizikal di pejabat menjadi kebiasaan namun, pandemik telah membataskan interaksi antara rakan sekerja. Keregangan ini sedikit sebanyak memberikan kesan kepada hubungan persahabatan yang seterusnya berkemungkinan menjejaskan pencapaian prestasi pekerja.  Sehubungan itu, satu pendekatan telah diambil untuk terus merapatkan ukhwah sesama ahli dengan menganjurkan program bersama-sama iaitu Hari Keluarga Jabatan Pengurusan.

9 Mac 2024 menjadi satu tarikh yang bersejarah bagi para pensyarah Jabatan Pengurusan di Pusat Pengajian Perniagaan dan Perbankan, Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Pahang. Setelah lama tidak bersama-sama dalam aktiviti santai yang melibatkan keseluruhan ahli keluarga, kami berkesempatan untuk mengadakan majlis Hari Keluarga BA111. Program yang dilaksanakan di Hotel Swiss-Bel Kuantan ini merupakan satu program yang dirangka khusus untuk meraikan kejayaan rakan-rakan dalam pelbagai bidang pencapaian kerja di samping untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara pensyarah dan juga ahli keluarga pensyarah.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan Koordinator Pengurusan untuk meraikan dan mengalu-alukan kedatangan semua ahli keluarga. Kemudian acara diteruskan dengan jamuan yang dihidangkan secara buffet. Terdapat pelbagai pilihan makanan yang telah dipilih bagi memenuhi selera dewasa dan kanak-kanak. Sambil-sambil menjamu selera, acara penyampaian hadiah dijalankan. Penyampaian anugerah dimulakan dengan Kategori Anugerah Khidmat Setia iaitu penghargaan kepada tujuh orang pensyarah yang telah berkhidmat di UiTM melebihi 20 tahun. Anugerah ini diberikan bagi menghargai sumbangan dan komitmen mereka terhadap fakulti khususnya dan UiTM secara amnya. Diharapkan semoga mereka akan terus komited dan bersemangat untuk terus mencurahkan bakti walaupun telah melalui satu tempoh yang lama bersama universiti.

Jabatan Pengurusan juga turut mengiktiraf sumbangan pensyarah dengan memberi penghargaan kepada mereka yang telah menunjukkan pencapaian kerja yang cemerlang berdasarkan kepada enam kategori yang berbeza. Antara anugerah yang disediakan adalah Anugerah Cemerlang Penyelidikan, Anugerah Cemerlang Penulisan, Anugerah Cemerlang Khidmat Masyarakat, Anugerah Cemerlang Sukan, Anugerah Cemerlang Inovasi dan Anugerah Cemerlang Hubungan Industri/Universiti. Adalah diharapkan agar dengan pemberian anugerah ini akan dapat meningkatkan motivasi setiap pensyarah di Jabatan Pengurusan untuk berusaha dengan lebih cemerlang dalam pelbagai aspek selain daripada aspek pengajaran dan pembelajaran.

Seterusnya, majlis ini juga diserikan lagi dengan aktiviti seperti permainan mudah yang melibatkan semua. Anak-anak dijemput bermain dalam permainan seperti Pelancaran Roket dan Mengajuk Gerakan. Sementara bagi peserta dewasa juga semuanya menunjukkan semangat kekitaan yang tinggi dengan menyertai permainan Meneka Perkataan. Namun acara paling dinantikan adalah acara Cabutan Nombor Bertuah yang menawarkan pelbagai jenis hadiah misteri. Sama ada pasangan dan anak-anak, semuanya berpeluang untuk terpilih dan mendapat hadiah menarik yang disediakan.

Penganjuran program seumpama ini diyakini mampu mengekalkan perasaan kekitaan dan kebersamaan ahli di Jabatan Pengurusan. Selain itu, pemberian anugerah berdasarkan kepada kecemerlangan usaha yang telah dilakukan sebelum ini juga boleh meningkatkan lagi motivasi pensyarah untuk lebih cemerlang dalam menjalankan tugas. Setinggi-tinggi ucapan terima kasih diucapkan kepada semua ahli jawatan kuasa yang terlibat dalam menjayakan program ini. Komitmen semua ahli jabatan untuk meluangkan masa bersama seisi keluarga juga amat-amat dihargai. Adalah diharapkan acara Hari Keluarga ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan semua ahli keluarga besar BA111 UiTM Cawangan Pahang.

Asam kandis mari dihiris
Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
Lebih manis hati budinya