PUNCAK ALAM, 26 OKTOBER 2024 – Society of Pharmacy Students (SOPHYS) dan Sekretariat Mahasiswa Fakulti Farmasi UiTM dengan kerjasama Majlis Permuafakatan Penduduk Saujana Utama (MPPSU), telah berjaya menganjurkan Hari Farmasi Sedunia 2024 bertempat di Dewan MPKS Saujana Utama. Program sambutan Hari Farmasi Sedunia diadakan untuk menghargai komitmen dan sumbangan ahli farmasi dalam sektor penjagaan kesihatan, serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai fungsi ahli farmasi dalam pelbagai bidang.
Dengan tema tahun ini “Pharmacists: Meeting Global Health Needs” pelbagai aktiviti-aktiviti menarik telah dianjurkan dan berjaya menarik lebih daripada 500 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk derma darah, saringan kesihatan, kaunter pendermaan sel stem, senam aerobik, serta reruai dan pameran kesihatan yang menyediakan informasi berguna kepada masyarakat. Bagi kanak-kanak, aktiviti interaktif seperti pembuatan sabun, compounding booth, dan Pharmazania turut dianjurkan untuk menggalakkan perkongsian ilmu dan kesedaran awal tentang bidang farmasi. Selain itu, terdapat sesi ceramah yang dijalankan oleh penceramah jemputan dari Pfizer Malaysia Sdn. Bhd. dan Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), UiTM. Sambutan Hari Farmasi Sedunia ini juga turut mengadakan forum yang menampilkan ahli farmasi dari pelbagai bidang iaitu farmasi tentera, ahli farmasi dari bahagian penguatkuasaan farmasi dan ahli farmasi akademik sebagai panelis jemputan.
Program sambutan Hari Farmasi Sedunia bersama komuniti setempat ini telah menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat di antara institusi akademik, pusat berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan (NGO), dan masyarakat awam. Diharapkan dengan penganjuran aktiviti-aktiviti yang memberi impak positif, Hari Farmasi Sedunia 2024 bukan sahaja meraikan sumbangan ahli farmasi, tetapi juga menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam menjaga kesihatan diri dan keluarga.