UiTM Kampus Puncak Alam, 14 November 2020: Pelajar Nursing Students Association (NUSA), Fakulti Sains Kesihatan (FSK) telah menjayakan program Sambutan Hari Diabetes Sedunia pada 14 November 2020 secara atas talian melalui platform seperti Instagram dan Whatsapp. Program ini melibatkan semua pelajar daripada Fakulti Sains Kesihatan (FSK).
Program ini diadakan adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang peri pentingnya menjaga kesihatan dan peranan jururawat dalam memberi sokongan kepada pesakit diabetes. Hal ini selaras dengan tema hari diabetes sedunia untuk tahun 2020 iaitu ‘The Nurse and Diabetes’. 14 November setiap tahun dipilih sebagai hari diabetes sedunia kerana ini merupakan tarikh kelahiran saintis yang menemukan insulin bagi mengatasi masalah diabetes iaitu Sir Federick. Insulin ditemui pada tahun 1992. Selain itu, tujuan program ini dijalankan juga bagi mendedahkan kepada para mahasiswa tentang risiko penyakit diabetes jika tidak dicegah daripada awal selaras dengan mutiara kata ‘Prevention is better than cure’. Program ini sekaligus dapat melahirkan mahasiswa yang lebih prihatin terhadap kesihatan diri dan mampu mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat bagi mencegah daripada penyakit diabetes.
Susulan keadaan semasa yang tidak mengizinkan kami untuk menjalankan program ini secara bersemuka, maka kami mengambil inisiatif dengan menjalankan program ini secara atas talian melalui platform Instagram dan juga ‘Whatsapp’. Program ini melibatkan 8 orang ahli jawatankuasa yang menjadi tulang belakang dalam menjayakan program ini serta melibatkan mahasiswa daripada lapan kursus dalam Fakulti Sains Kesihatan (FSK). Antara aktiviti yang dijalankan semasa program ini berlangsung ialah tayangan video simptom diabetes hasil lakonan ahli jawatankuasa program, infografik yang memaparkan jenis diabetes dan akhir sekali ialah kuiz mengenai diabetes bagi menguji tahap pengetahuan mahasiswa setelah melihat infografik dan video yang telah ditayangkan.
Sebelum hari kejadian, kami mengambil inisiatif bagi mempromosikan program ini dan memberi notis awal tentang program dengan bantuan salah seorang biro multimedia daripada persatuan kejururawatan (NUSA). Program ini diberi notis awal dengan cara memuat naik poster program Hari Diabetes Sedunia di ‘Facebook’ NUSA dan di Instagram nusauitm pada 13 November 2020 bagi menjadikan mahasiswa lebih peka tentang program yang akan berlangsung pada keesokan harinya. Program ini berlangsung dengan cara memuat naik poster dan juga notis pemberitahuan program dalam Instagram nusauitm dan juga disebarkan dalam aplikasi ‘Whatsapp’ pada jam 8.00 pagi sekaligus diedarkan pautan untuk menjawab kuiz mengenai diabetes yang telah disediakan melalui platform Google Form. Kuiz ini mengandungi 10 soalan ringkas berkenaan simptom dan jenis diabetes yang sedia ada dalam video dan juga infografik yang telah disiarkan di IgTV dan Instagram nusauitm. Kuiz ini telah dibuka penyertaan bermula jam 8.00 pagi sehingga jam 10.00 malam selaras dengan tamatnya program pada jam 10.00 malam. Menurut dapatan, terdapat seramai 139 responden telah menyertai kuiz tersebut. Bagi para peserta yang menyertai kuiz, merit dan juga e-Certification akan diberikan.
Video Hari Diabetes Sedunia juga telah ditayangkan pada jam 8.00 pagi melalui platform Instagram TV (nusauitm). Video ini mengandungi serba sedikit info tentang simptom-simptom yang dihadapi oleh pesakit diabetes. Video ini telah mendapat sebanyak 325 tontonan yang mana telah mendapat sambutan terutamanya dalam kalangan mahasiswa/mahasiswi Program Sarjana Muda Kejururawatan. Selain daripada video, infografik berkenaan jenis diabetes, rawatan, komplikasi dan cara mencegah diabetes juga telah dipaparkan di Instagram NUSA bermula pada jam 8.00 pagi. Hal ini dapat mengukuhkan lagi pengetahuan mahasiswa/ mahasiswi UiTM Puncak Alam tentang diabetes.