Happy Learning@Library “The Sound of Malaysian Gambus : An Introduction”

Happy Learning@PTAR bertarikh 12 April 2022 (Selasa) jam 10:00 pagi telah membawakan alat muzik gambus dekat di hati pengguna perpustakaan. Selama dua jam penonton disajikan dengan alunan merdu muzik gambus diringi pameran pembuatan alat muzik gambus bertempat di ruang Pameran Penyelidik, Aras 1, PTAR.

Pensyarah Pengajian Konservatori Muzik, UiTM, Encik Abdullah Mohd Redza atau lebih dikenali sebagai Dollah Gambus bersama para pelajar semester 4, program CAMU110 Diploma Muzik telah mengalunkan irama alat muzik gambus sehingga para penonton seramai hampir 30 orang tidak berganjak mendengarnya.

Encik Jamalludin bin Sulaiman, Ketua Jabatan Perkhidmatan Perpustakaan turut meluangkan masa menyaksikan persembahan alat muzik gambus ini.

Persembahan alat muzik gambus bermula dengan penerangan alat muzik gambus oleh Dollah Gambus. Antara yang menarik perhatian penonton ialah penerangan tentang jenis-jenis Maqam (mod dalam bahasa Arab), Taqsim (improvisasi) dan Wainab (gerakan membentuk sembah akhir didalam sebuah permainan zapin). Sebagai contoh Maqam Ras sesuai dimainkan di waktu pagi. Dollah Gambus turut mendendangkan irama gambus ala penyanyi gambus tersohor tempatan, Allahyarham Fadhil Ahmad.

Persembahan diteruskan dengan petikan gambus kumpulan pelajar seramai tujuh orang seperti berikut:

Danial Nur Aimar bin Nurulhamdi (2020829768)
Mohd Irfan Cairel bin Zainuddin (2020841722)
Fairuz ‘Afiq bin Faizul (2020871242)
An-Nisa Anis binti Mohd Zainey (2021631018)
Nik Muhammad Izzuddin bin Nik Ibrahim (2021854918)
Amir Ashraf bin Norazmam (2021200668)
Amirul Rasyid bin Imran (2021827976)

Kumpulan pelajar ini telah mengalunkan irama gambus lagu-lagu popular seperti lagu Kopi Dangdut-lagu asal Venezuela, lagu Uskudura Gider Iken-lagu rakyat Turki dan Joget Pahang-lagu tradisional Melayu.

Irama muzik gambus turut sering dimainkan dengan irama lagu zapin, ghazal dan melayu asli seperti lagu Zapin Datuk Temenggong dan lagu Seri Mersing. Kebanyakan irama seni muzik Johor mempunyai gambus sebagai alat muzik utama. Para penonton turut berpeluang mempelajari cara memainkan alat muzik gambus berbantukan para pelajar diploma Kolej Pengajian Konservatori Muzik, UiTM.

Di akhir persembahan, saudara Fairuz ‘Afiq bin Faizul menerima cenderamata PTAR sebagai pemain gambus terbaik pagi itu. Penyerahan cenderamata ini ialah sebagai tanda penghargaan program Happy Learning@PTAR dan telah disampaikan oleh Dr. Adlina Abdullah, selaku penyelaras program.

Pautan PTAR TV: #11- The Sound of Malaysian Gambus: an introduction
https://youtu.be/xKYTBKushbs