BERTAM, 6 Januari 2025 – Seni tidak hanya menjadi hiasan, tetapi juga medium untuk menceritakan perjalanan hidup, budaya, dan perpaduan rakyat. Haji Bahman Jamaludin atau lebih dikenali sebagai Haji Bee merupakan Pensyarah Kanan Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam, merupakan pelukis utama yang bertanggungjawab dalam menyumbangkan lakaran seni kreatifnya iaitu “Mural Inspirasi: Menghidupkan Kisah Rakyat Malaysia” di satu sudut dinding Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Bertam.
Penghasilan mural ini telah mengambil masa hampir tiga bulan bermula pada 11 Oktober 2024 dan telah disiapkan pada 3 Januari 2025. Sepanjang proses penghasilan “doodle” ini, sebanyak 25 batang marker pen telah digunakan untuk memenuhkan dinding yang bersaiz 13.3 kaki x 6.5 kaki ini. Dekan FSK, pelajar, serta staf UiTMCPP Kampus Bertam turut memeriahkan lagi mural tersebut dengan mengeluarkan hasil seni mereka. Hasil mural ini, walaupun mengambil masa untuk disiapkan namun ia sering menarik perhatian setiap pengungjung yang melawat ke perpustakaan tersebut.
Haji Bee, yang berasal dari Melaka, telah mengukir namanya sebagai ikon seni dan masyarakat. Melalui laman Facebooknya, “@Hajibee”, beliau sering berkongsi karya seni beliau yang menyentuh isu-isu sosial dan budaya. Perjalanan hidup Haji Bee dan elemen mural ini saling melengkapi dan membawa mesej yang sama iaitu rakyat Malaysia memiliki cerita yang unik untuk disampaikan kepada mereka diluar sana.
Antara elemen-elemen yang terdapat di dalam mural ini adalah kisah hidup di kampus, warisan seni dan budaya, tempat-tempat ikonik di Malaysia, solidariti Palestin, pencapaian warga kampus, istiadat konvokesyen, dan watak utama untuk mural tersebut “PTAR Bertam”.
Mural ini bukan sekadar dekorasi dinding sahaja; malah ia adalah kapsul masa yang merakamkan kehidupan, impian, dan kebanggaan rakyat Malaysia. Ia mencerminkan perpaduan, kreativiti, dan semangat kebangsaan yang terus membara, sekaligus menjadi inspirasi untuk generasi akan datang.
Penulis: Nurhayati Binti Hassan, Nur Ain Binti Che Embi dan Nurul Amani Binti Amir