Graduan Seimbang dan Berciri Keusahawanan: Kelab MyAgrosis UiTM Kampus Raub

Kelab MyAgrosis Kampus Raub adalah merupakan kelab yang ditubuhkan hasil kerjasama dengan FAMA Negeri Pahang dan kelab ini telah dilancarkan bersama program NBME & Agromas Challenge di peringkat UiTM Kampus Raub, Pahang pada bulan 11 Disember 2018 oleh Ketua Pengarah FAMA, YBhg. Dato’Ahmad bin Ishak di Dewan Titiwangsa, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub.

Agrobazaar K-Shoppe adalah merupakan salah satu projek di bawah komponen Agro Niaga yang melibatkan aktiviti perniagaan dan pemasaran produk pemprosesan makanan. Kelab ini ditubuhkan dengan tujuan untuk memberikan pendedahan kepada siswa siswi dan siswazah dengan menyediakan platform keusahawanan bagi melahirkan sekelompok usahawan yang berdaya saing dan berkaliber di kalangan siswazah dalam bidang pengeluaran serta pemasaran produk terutama agromakanan. Satu ruang social media diwujudkan untuk memudahkan penyampaian dan perkongsian maklumat berkenaan dengan aktiviti dan program yang dijalankan oleh Kelab MyAgrosis. Ruang sosial media tersebut boleh dilayari melalui pautan ini https://instagram.com/myagrosisuitmraub?igshid=YmMyMTA2M2Y=

Sejak penubuhan kelab MyAgrosis, pelbagai program yang telah dijalankan dan kesemua program ini adalah program kerjasama dengan FAMA Daerah Raub dan FAMA Negeri Pahang. Antara program yang telah dijalankan :
o Majlis Pelancaran Kelab MyAgrosis, NBME & AGROMAS : 2018
o Karnival Keusaha-One : 2019
o MY AgroFest Fruit Extravaganza : 2019
o My Agro Fit : 2020
o MyAgro Carnival : 2020
o MyAgro Carnival 2.0 : 2021

Projek MyAgrosis K-Shoppe (MKS) adalah sebagai salah satu saluran pasaran produk-produk IKS tempatan dan telah menjadi satu wadah kepada ahli-ahli kelab MyAgrosis bagi menggilap bakat dalam bidang perniagaan. MyAgrosis K-Shoppe merupakan satu pendekatan baru dalam membangunkan Usahawan Pemasar bagi produk-produk IKS di seluruh negara.

Program MyAgrosis K-Shoppe memberi peluang kepada ahli kelab yang berpotensi dan berdaya maju untuk diketengahkan oleh Kelab MyAgrosis dengan menampilkan konsep kedai yang teratur, terurus, penampilan imej yang menarik dan seragam. Kshoppe diuruskan sepenuhnya oleh para pelajar yang sukarela menjadi sebahagian daripada ahli pengurusan Kshoppe. Disamping itu juga jadual tugasan menjaga kaunter Kshoppe adalah mengikut kepada jadual kuliah pelajar. Mereka akan memilih mana-mana slot yang tidak bertindih dengan jadual kuliah mereka. Setelah lebih kurang setahun Kshoppe beroperasi banyak impak positif yang dapat dilihat hasil daripada pendekatan perniagaan secara realiti ini.

Sejajar dengan hasrat UiTM untuk memupuk elemen keusahawan dalam diri setiap pelajar, Kshoppe merupakan platform yang tepat untuk mereka mencungkil bakat dalam bidang perniagaan. Bukan sahaja sekadar menjual barangniaga tetapi mereka mampu untuk menguruskan segala aspek dalam sebuah perniagaan yang sebenar disamping membantu mereka dari segi aspek kewangan.

Warga UiTM Raub boleh menikmati pelbagai jenis makanan pagi,tenghari dan petang. Kesemua produk-produk ini adalah produk yang diproses oleh usahawan-usahawan Bumiputera disekitar bandar Raub. Yang paling menarik Kshoppe UiTM Raub menampilkan minuman kopi yang semestinya mempunyai citarasa kopi premium dengan aroma yng harum dan rasa kopi yang tiada tolok bandingnya. Antara yang mendapat tempat di hati warga UiTM Kampus Raub adalah Kopi Latte yang mana ia merupakan minuman yang digemari oleh penggemar kopi dunia. Mykopie menampilkan Kopi Latte yang diestrak dalam bentuk serbuk dan telah dicampur kremer dan gula. Anda boleh menikmati kopi ini dalam bentuk minuman sejuk mahupun panas.

Penubuhan Kelab MyAgrosis ini menyokong hasrat dan matlamat pelan strategik UiTM 2025 dimana UiTM bertekad menerapkan nilai dalaman untuk kecemerlangan, sinergi, integriti dan juga mendidik set minda keusahawan dalam kalangan pelajar dalam usaha mereka untuk mencapai 90% kebolehpasaran graduan dengan sasaran khusus sebanyak 10% bagi mereka yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan global sebagai usahawan.