MACHANG, 1 Disember – Pada 17 sehingga 19 November 2024 (Ahad – Selasa), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menganjurkan Program Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa Peringkat Kebangsaan Tahun 2024. Program ini diadakan di UTM Hotel & Residence, Kuala Lumpur dan telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri KPDN.
Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UiTM Cawangan Kelantan kali ini telah menghantar seramai 4 orang wakil GPS (2 wakil GPS Kampus Machang dan 2 wakil GPS Kampus Kota Bharu) bagi menyertai Pertandingan Video Kreatif Mahasiswa: KITA G.E.M.P.U.R dan berganding bahu bersama GPS dari seluruh Malaysia. Pertandingan tersebut turut disertai 134 institusi seluruh Malaysia dari Zon Utara, Zon Tengah, Zon Selatan dan Zon Borneo. Tujuan pertandingan ini diadakan adalah bagi mendedahkan inisiatif KITA G.E.M.P.U.R kepada mahasiswa supaya dapat menjadi mata dan telinga kepada kerajaan pada hari ini. Selain itu, program ini juga dapat memupuk semangat berpasukan dan pada masa yang sama mengasahkan lagi bakat serta kreativiti mahasiswa dalam menghasilkan video tersebut. Untuk makluman, terdapat 27 kumpulan yang bertanding di dalam pertandingan pada kali ini terdiri daripada pelbagai IPTA dan IPTS yang digabungkan dalam satu kumpulan bagi mengembangkan lagi idea mahasiswa daripada GPS.
Untuk pertandingan kali ini, 2 orang wakil UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang telah merangkul johan. Justeru, pencapaian ini dengan secara langsung telah menaikkan nama Negeri Kelantan dan UiTM Cawangan Kelantan. Secara keseluruhannya, Program Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 ini bukan sahaja memupuk semangat berpasukan malah dapat mengeratkan lagi hubungan antara Gerakan Pengguna Siswa dari seluruh Malaysia.