Gotong Royong Perdana Madani Dan Program Penanaman Pokok UiTM Seri Iskandar

Pada 11 Mei 2024 yang lepas satu Program Khidmat Masyarakat Universiti (USR) Gotong Royong Perdana Madani Dan Program Penanaman Pokok telah berlangsung di Taman Puncak Perdana Seri Iskandar Perak. Program ini adalah kolaborasi bersama Program Perancangan Bandar Dan Wilayah (PPBW) Jabatan Pengajian Alam Bina & Teknologi Kolej Pengajian Alam Bina UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT), KRT Puncak Iskandar, Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB)dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Program ini merupakan bersempena dengan program kemampanan komuniti bandar (PKKB) di bawah insiatif MDPT dan mendapat bantuan penuh daripada KPKT dan sumbangan ‘goodies’ daripada DBKL.

Objektif utama program adalah, 1. Mewujudkan platform kerjasama yang erat antara pihak universiti, pihak berkuasa tempatan, masyarakat setempat dan pihak swasta dan 4 pertubuhan bukan kerajaan untuk mencapai matlamat bersama dalam pembangunan sosial melalui penyertaan dalam aktiviti gotong-royong dan penanaman pokok. 2. Meningkatkan kesedaran masyarakat akan tanggungjawab bersama dalam menjaga dan memelihara kelestarian alam sekitar selaras dengan Matlamat 11 Sustainable Development Goals (SDG): menjadikan bandar raya dan penempatan manusia sebagai menyeluruh, selamat, berdaya tahan dan mampan.

Persiapan program ini telah dilaksanakan awal 1 hari oleh pihak staf Majlis Daerah Perak Tengah dengan menyediakan peralatan yang akan digunakan pada hari program bagi memastikan kelancaran program. Program ini dihadiri hampir 100 orang peserta daripada kesemua agensi yang berkolaborasi. Program ini berlangsung mulai pukul 8.00 pagi, dimulakan dengan sarapan pagi untuk semua peserta. Program telah dirasmikan oleh YDP MDPT Pn. Zairina Binti Nordin, PMP, AMP dan ucapan aluan oleh Ketua KRT Puncak Iskandar Gs Dr Norhazlan Haron bertempat di Astaka Taman Puncak Perdana Seri Iskandar. Gimik perasmian ialah penaman pokok oleh VIP di sebelah astaka tersebut. Antara VIP yang hadir selaian daripada YDP MDPT dan Ketua KRT, TPr Hjh Maimon Ali Koordinator Program Sarjana Muda AP221, Gs Muhamad Sofiyuddin Sanusi Koordinator Program Diploma AP111, Ketua MRCB. Mereka masing-masing telah menanam pokok bagi gimik perasmian tersebut. Sebanyak 40 batang pokok jenis Merawan Siput Jantan serta sebanyak 30 batang pokok renek Ixora Sunkist telah berjaya ditanam. Selesai penanam pokok, aktiviti diteruskan dengan gotong-royong pembersihan taman-taman yang terdapat dalam kawasan Taman Puncak Iskandar Perdana. Sebanyak 2 lori roro kepunyaan MDPT digunakan untuk mengangkat sampah-sarap yang dikumpulkan oleh penduduk Taman Puncak Iskandar. Acara bergambar beramai-ramai dilakukan selepas semua aktiviti telah dijalankan. Majlis berakhir dalam pukul 12.00 tengah hari dan diakhiri dengan makan tengah hari oleh semua peserta yang terlibat.

Disamping itu semua peserta program digalakkan menjawab soal selidik program yang dijalankan oleh pelajar separuh masa Sarjana Muda Perancangan Bandar (Epjj AP221) untuk tugasan mereka Kod Program TPR482: Social and Community Planning. Mereka yang telah berjaya menjawab dan hantar ‘Google Forms’ akan mendapat ‘goodies’ yang ditaja oleh pihak DBKL. Secara keseluruhanya, program ini telah berjaya mencapai objektif-objetif yang digariskan. Adalah diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.