BRUNEI DARUSSALAM: Go Global! Online Outbound International Mobility Program dianjurkan secara atas talian oleh Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Brunei Darussalam (KUPU SB) dan Fakulti Pengurusan & Perniagaan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak Kampus Mukah telah diadakan dengan jayanya selama 2 hari iaitu bermula 22 sehingga 23 Mac 2021.
Mobiliti pengantarabangsaan secara dalam talian ini telah disertai oleh pensyarah undang-undang komersial iaitu Encik Ikhwan Naguib bin Jusoh sebagai Pegawai Penyelaras dan 30 orang mahasiswa-mahasiswi cemerlang yang terpilih daripada Program Diploma Pengajian Perniagaan dan Diploma Pengajian Perbankan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah.
Program selama dua hari itu dimulakan dengan perasmian pembukaan oleh Yang Mulia Dr Haji Adanan Bin Haji Basar, Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan di Perhimpunan Kepimpinan Syaksiah Melayu Islam Beraja (MIB) dan diteruskan dengan mobiliti secara atas talian. Antara pengisian program adalah Sesi Penerangan Berkaitan Keusahawanan di Brunei Darussalam, English for Islamic Education II, Falsafah Perguruan Agama, Fiqh Mawarith, Metod Penyelidikan Pendidikan Islam, Falsafah Melayu Islam Beraja dan Kenali Bahasa Brunei.
Tujuan program ini adalah untuk meningkatkan mutu pembelajaran dan pengajaran para pelajar dan pensyarah. Para peserta juga dapat meluaskan lagi ilmu pengetahuan bukan sahaja dalam bidang pengurusan perniagaan malah dalam bidang sosial dan pengajian Islam. KUPU SB ini merupakan antara kolej universiti yang terbaik di negara Brunei Darussalam. Oleh itu, program mobiliti yang dianjurkan ini akan memberi impak positif yang besar terhadap pembelajaran dan pengajaran para pelajar dan pensyarah.