Jengka, 30 April 2024 – Rantaian dari program Gift of Reading 4.0 yang merupakan acara tahunan di bawah seliaan Akademi Pengajian Bahasa (APB) Kampus Jengka, seramai 17 orang pensyarah telah hadir ke SK (Felda) Jengka 11 bagi menjayakan Gift of Reading 5.0 bermula jam 8 pagi sehingga 12:30 tengah hari.
Setibanya di sekolah, para pensyarah terlibat telah hadir ke perpustakaan di mana aktiviti membaca bersama pelajar telah dijalankan mengikut kumpulan. Pelajar-pelajar telah diminta untuk memilih buku Bahasa Inggeris yang diminati agar mereka lebih yakin. Setelah selesai membaca, pelajar dengan bimbingan para pensyarah terlibat telah menggunakan aplikasi Read Along daripada Google yang berfokus kepada sebutan perkataan Bahasa Inggeris yang betul. Para pelajar menunjukkan reaksi dan kerjasama yang positif semasa menggunakan aplikasi ini.
Antara objektif program ini dijalankan adalah untuk memupuk minat membaca bahan bacaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid selain mewujudkan program yang berfokus kepada keseronokan dalam membaca melalui pemilihan bahan bacaan yang terpilih dan sesuai. Program seumpama ini juga selaras dengan hasrat UiTM untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang berfokuskan pendidikan berkualiti.
Melalui program ini, pihak penganjur berharap agar Gift of Reading 5.0: Tell Your Tale berhasil sebagai satu pemangkin kepada kecemerlangan pendidikan pelajar dan secara khususnya mampu meningkatkan minat pelajar terhadap matapelajaran Bahasa Inggeris. Amalan membaca sejak usia di bangku sekolah sudah pasti dapat melahirkan generasi akan datang yang lebih mampan dari sudut intelektual dan sahsiah.