Khamis, 14 Mei 2024 – Satu program tanggungjawab sosial komuniti (CSR) yang dinamakan Gerakan Environmen Murid Sekolah (GEMS) telah berjaya dianjurkan oleh persatuan Environmental Health Students’ Association (EHSAn) dari Fakulti Sains Kesihatan UiTM Puncak Alam di Sekolah Kebangsaan Puncak Perdana, Shah Alam. Program ini diadakan dengan tujuan untuk menerapkan nilai-nilai murni terutama dalam aspek penjagaan keselamatan makanan. Selain dari itu ia juga diadakan untuk melahirkan generasi baharu yang cakna terhadap isu-isu berkaitan kesihatan dan keselamatan persekitaran. Program ini telah mendapat sambutan yang sangat baik daripada para pelajar dan guru.
Seramai 60 orang murid dan 5 orang guru telah mengambil bahagian dalam program ini, menjadikannya salah satu acara terbesar yang pernah dianjurkan oleh EHSAn. Para peserta telah menyertai empat aktiviti seperti demonstrasi cuci tangan yang betul, program bertemakan tema “Lihat, Hidu, Rasa” dan beberapa lagi permainan menarik yang berkaitan bagi melihat pemahaman dan perkembangan komuniti terhadap cara pengendalian makanan serta dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.
Suasana di sekolah sangat meriah dengan sambutan yang menggalakkan daripada semua pihak. Murid-murid menunjukkan kefahaman yang lebih baik tentang keselamatan makanan dan berjanji untuk mengamalkan apa yang telah dipelajari di rumah. Guru-guru pula berpendapat bahawa program sebegini sangat penting dalam mendidik murid-murid tentang tanggungjawab mereka terhadap kesihatan diri dan keluarga.
Program GEMS ini bukan sahaja berfungsi sebagai satu platform untuk meningkatkan kesihatan dalam pengambilan nutrisi yang diperlukan tanpa risiko pencemaran oleh komuniti, tetapi ia juga menjadi rujukan dan teladan bagi sekolah-sekolah lain serta komuniti setempat. Dalam masa yang sama, pihak universiti dan Pusat Pengajian turut dapat membina jaringan kerjasama di antara ahli akademik dan komuniti sasaran. Tambahan pula, informasi kepakaran berkaitan bidang kesihatan dan keselamatan persekitaran juga dapat disebarkan dan dikongsi bersama.
Secara keseluruhannya, program tanggungjawab sosial komuniti bertemakan keselamatan makanan di Sekolah Kebangsaan Puncak Perdana ini telah berjaya mencapai objektifnya. Ia bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang keselamatan makanan dalam kalangan murid-murid, tetapi juga mengeratkan hubungan antara sekolah dan komuniti setempat. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain untuk manfaat yang lebih besar.