Geraham bongsu menyakitkan, sukar makan ganggu kesihatan

Dr Mohd Shawal Firdaus (kiri) bersama Pakar Radiologi Mulut, Dr Nor Hidayah Reduwan (kanan) memberi penerangan kepada pelajar Sharifah Alia Shahira Shahrulmizam, 25 (dua kanan) dan Nur Khairunnisa’ Zainal, 25 berkaitan keputusan X-ray mulut di Fakulti Pergigian, Hospital UiTM Sg Buloh. – Foto Salhani Ibrahim

Kadangkala boleh demam, bengkak pada pipi sehingga tidak boleh membuka mulut langsung dan menyebabkan sukar bercakap atau hendak mengunyah makanan.

Kalau boleh ketika itu juga mahu berjumpa doktor supaya gigi berkenaan dicabut bagi menghilangkan kesakitan yang ditanggung.

Ramai tertanya-tanya apakah gigi geraham terimpak (menimbulkan masalah) ini perlu dibiarkan atau dicabut kerana selain tiada fungsi, ia sukar dijaga kerana kedudukannya jauh ke belakang.

Pakar Klinikal dan Pensyarah Pembedahan Mulut dan Maksilofasial, Fakulti Pergigian Universiti Teknologi MARA, Dr Mohd Shawal Firdaus Mohamad, berkata ketika sakit, gigi tidak boleh dicabut.

Beliau berkata, ini kerana ubat bius setempat yang diberikan tidak akan memberikan kesan terbaik seterusnya pesakit akan merasa sakit jika prosedur mencabut diteruskan.

“Ketika sakit, doktor akan membersihkan kawasan gigi, sekiranya simptom seperti demam, mulut tidak boleh dibuka, bengkak besar, pesakit memerlukan rawatan pendahuluan seperti pemberian ubat tahan sakit antibiotik. Apabila sakit hilang, doktor akan memastikan sama ada anda perlu atau tidak gigi berkenaan dibuang,” katanya.

Gigi senget perlu dicabut

Dr Mohd Shawal Firdaus Mohamad (kanan) melihat dan memberi tunjuk ajar cara-cara membuat pembedahan mulut kepada pelajar tahun akhir, Mohamad Farhanuddin Ismail, 25 di Fakulti Pergigian, Hospital UiTM Sg Buloh. – Foto Salhani Ibrahim

Gigi geraham bongsu yang terimpak atau tumbuh secara senget, kemungkinan perlu dibuang kerana boleh menimbulkan pelbagai masalah seperti, gigi berlubang, keradangan gusi dan jangkitan kuman kerana sisa makanan mudah tersumbat di celah gigi berkenaan.

Keadaan ini boleh menyebabkan jangkitan berulang yang boleh membawa maut sekiranya jangkitan dibiarkan tanpa rawatan.

Jangkitan paling teruk seperti Ludwig angina iaitu bengkak dan jangkitan merebak pada leher seterusnya mengganggu saluran pernafasan dan boleh menyebabkan maut.

Katanya gigi geraham yang tumbuh pada sekitar usia 18 sehingga 25 tahun biasanya tumbuh secara menegak tetapi ada yang tumbuh secara senget akibat faktor persekitaran dan genetik.

Sebagai contoh, anak berkemungkinan mewarisi gigi besar dan rahang kecil sekiranya ibunya mempunyai gigi besar manakala ayah pula mempunyai rahang kecil.

Keadaan rahang dan gigi yang diwarisi ini menyebabkan gigi geraham bongsu tidak boleh tumbuh dengan sempurna.

Perubahan rutin pemakanan manusia dari zaman dahulu sehingga kini, seperti banyak makan makanan keras seperti daging, secara teorinya menggalakkan pertumbuhan gigi geraham bongsu berbanding makan makanan lembut.

Jalani pembedahan kecil

“Gigi geraham tidak boleh dicabut semudah gigi lain sebaliknya perlu menjalani pembedahan kecil untuk mengeluarkannya dan imej sinar x akan diambil sebelum pembedahan dilakukan.

“Kira-kira 0.2 sehingga satu peratus pesakit berisiko mengalami kecederaan membabitkan saraf deria rasa pada lidah, bibir, pipi dan rahang bawah, ” katanya.

Katanya pembedahan perlu dijalankan doktor gigi yang mahir dalam pembedahan bagi mengelakkan risiko tidak diingini.

Selepas pembedahan, pesakit perlu berehat selama dua hingga tiga hari dan perlu mengelakkan daripada melakukan aktiviti lasak dan mengelakkan makan makanan keras.

Kawasan gigi juga perlu dibersihkan bagi mengelakkan daripada jangkitan dan gusi akan tertutup dalam tempoh seminggu saja sebelum pulih sepenuhnya dalam tempoh sebulan.

Info

Bila gigi geraham bongsu perlu dibuang?

  • Mengalami jangkitan berulang (perikoronitis)
  • Masalah gusi (peridontitis)
  • Karies atau gigi berlubang (sekiranya gigi geraham atau gigi sebelah berlubang, kemungkinan juga perlu dibuang).
  • Kawasan gigi ada ketumbuhan
  • Rawatan membetulkan rahang, gigi mengganggu perlu buang
  • Trauma membabitkan kawasan tulang gigi geraham terimpak ( jika gigi terbabit mengganggu proses membaik pulih tulang rahang)

Penjagaan gigi bongsu:

  • Pastikan gigi diberus dengan betul dan sempurna.
  • Bersihkan gigi setiap kali selepas makan.
  • Gunakan flos untuk mengeluarkan sisa makanan.
  • Berkumur dengan cecair pembersih kuman selepas memberus gigi.

Oleh: Halina Mohd Noor
Sumber: https://www.bharian.com.my/wanita/sihat/2019/03/538321/geraham-bongsu-menyakitkan-sukar-makan-ganggu-kesihatan

0
0