Geomatics Research Innovation Competition (GRiC 2024)

3 Julai 2024: Geomatics Research Innovation Competition (GRiC 2024) telah selesai diadakan di Foyer Star Complex, UiTM Cawangan Perlis semalam. Program berorientasikan pertandingan inovasi ini menggunakan kaedah pembentangan menggunakan poster dan bahan pameran oleh para pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Ukur dan Geomatik (AP220) berkaitan projek penyelidikan tahun akhir yang sedang dijalankan oleh mereka.

Program ini telah dirasmikan oleh Ybrs. Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, yang menjalankan fungsi Rektor UiTM Cawangan Perlis. Hadir sama dalam dan mengiringi Ybhg. Rektor ialah Ybrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim (Timbalan Rektor HEA), Prof. Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail (Timbalan Rektor PJI), Sr. Dr. Rohayu Haron Narashid (Ketua Pusat Pengajian), Sr. Ashnita Rahim (Koordinator Program), Gs. Dr. Nurul Ain Mohd Zaki (Pengarah Program GRiC 2024), Ketua Juri, Barisan Panel Keynotes, barisan staf dan pelajar Ijazah Sarjana (AP220) dan pelajar Diploma Sains Geomatik (AP120), semester 4.

Penyertaan pelajar pada kali ini melibatkan seramai 69 orang pelajar. Pembentangan pelajar dinilai oleh tiga orang hakim yang terdiri daripada pensyarah Kolej Pengajian Alam Bina (KAB) dan pihak profesional berkaitan di sekitar negeri Perlis seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan ramai lagi. Penilaian pelajar yang terbaik dipilih bagi mewakili kategori GOLD, SILVER dan BRONZE. Pihak penganjur telah melantik Ketua Penilai GRiC 2024 yang diketuai oleh Prof. Madya Ts. Sr. Gs. Dr. Khairul Nizam Abdul Maulud daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Selain itu, pihak Jawatankuasa GRIC pada tahun ini telah bersetuju memilih dan menganugerahkan 2 kategori iaitu Best Award (Research) dan Best Award (Innovation) kepada para pemenang.

Kolej Pengajian Alam Bina mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga kerja GRiC 2024 bersama-sama Kumpulan Penyelidikan Climate Change and Environmental (CCE) di bawah pimpinan Gs. Dr. Nurul Ain Mohd Zaki atas kejayaan penganjuran program GRiC pada tahun ini. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada penaja bersama Program GRiC 2024, iaitu Teams Up, RD dan Jinsoon Yap Survey Solution (JSY). Tidak dilupakan juga kepada Pejabat Jaringan Industri, Masyarakat, Keusahawanan & Alumni yang telah memberi kebenaran dan kelulusan pinjaman barang sepanjang program berlangsung.

Akhir kata, warga Kolej Pengajian Alam Bina mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada para pemenang GRiC 2024.