Garis panduan pakaian peserta Islam perlu diwujudkan

Rekaan yang menghasilkan pakaian mengikut syariah

KUALA LUMPUR: Garis panduan khas pakaian sukan yang lebih sopan dalam kalangan atlet wanita perlu diwujudkan selaras dengan nilai budaya masyarakat di negara ini.

Dengan adanya garis panduan itu secara tidak langsung mampu menarik lebih ramai wanita Muslimah menyertai pelbagai bidang sukan.

Pakaian yang mencolok mata bukan saja tidak disenangi masyarakat, malah menghalang bakat baharu menyertai bidang sukan.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datin Dr Salina Md Yusof, berkata, pelbagai pihak khususnya pengendali acara sukan seharusnya mencontohi atlet negara Islam yang semakin berani memperkenalkan pakaian sukan sesuai untuk pesertanya menerusi perlawanan bertaraf antarabangsa.

Antaranya, atlet antarabangsa, peluncur dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Zahra Lari, mengenakan pakaian menepati tuntutan Islam pada pertandingan meluncur ais bertaraf dunia pada 2012.

Sumber dari http://www.projekdialog.com

Cabaran pereka Muslimah

Katanya, perkara itu tidak mustahil dilaksanakan, namun memerlukan kreativiti pereka dengan mengambil kira rekaan mengikut syariah.

“Banyak perubahan dilihat dalam pakaian sukan untuk wanita di peringkat antarabangsa tetapi dalam gimnastik boleh dikatakan tidak ada kerana peserta dari negara Islam ramai tidak mengambil bahagian dalam acara itu,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, menerusi acara gimnastik, kriteria pakaian mengikut postur badan diambil kira dengan memastikan pereka fesyen Muslimah menghasilkan rekaan menutup aurat.

Dalam acara gimnastik berirama, umpamanya aspek pakaian memerlukan atlet memakai “leotard’ kerana pakaian mesti ketat.

Bagaimanapun, Salina berkata, ada syarat membolehkan pakaian dihias asalkan tidak mendatangkan bahaya kepada atlet dan tidak menghalang penglihatan juri ketika menilai posisi setiap bahagian tubuh peserta.

Ini cabaran bagi pereka pakaian Muslimah yang juga perlu menitik beratkan jenis fabrik bersesuaian pada masa sama tidak mengabaikan pakaian mematuhi syariah.

“Begitu juga untuk acara renang, fabrik dan rekaan pakaian menutup kepala dan punggung, bersifat kurang rintangan membantu peserta Islam.

“Perkara asas seperti tudung, kalau dapat direka sesuai dengan aktiviti dan pada masa sama kemas serta tidak mengganggu pergerakan atlet,” katanya.

Salina berkata, persatuan sukan dari negara Islam mampu mengubah peraturan ditetapkan badan sukan dalam menentukan pakaian atlet, walaupun terpaksa mengharungi halangan termasuk menarik diri daripada penyertaan.

Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Datuk Mohd Jaya Al Bakri, berkata, pihaknya dan Majlis Sukan Negara (MSN) terikat kepada peraturan Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG).

“Tidak dinafikan MGF dan MSN sentiasa berusaha menyediakan pakaian sesuai untuk peserta gimnastik malah topik ini sering dibincangkan.

“Setakat ini, pada sesetengah bahagian pakaian atlet sudah ditutupi dengan fabrik berwarna kulit, selain leotard di bahagian belakang dipanjangkan menutupi punggung,” katanya.

Mohd Jaya mendakwa idea pakaian Muslimah juga kurang mendapat sambutan dalam kalangan negara Islam sendiri terutama dalam sukan berkenaan.

Bagaimanapun, pendirian tegas diperlukan dalam usaha memperkenalkan pakaian sukan Muslimah kepada dunia sukan antarabangsa.

Info
5 atlet wanita antarabangsa berpakaian menutup aurat

  • Ibtihaj Muhammad (Amerika)-acara pedang
  • Sarah Attar (Arab Saudi)- marathon
  • Kariman Abuljadayel (Arab Saudi)-olah raga
  • Kamia Yousufi (Afghanistan)-olah raga
  • Woroud Sawalha (Palestine)-acara larian 400 meter.

Oleh: Halina Mohd Noor
Sumber: https://www.bharian.com.my/wanita/fesyen/2018/07/443682/garis-panduan-pakaian-peserta-islam-perlu-diwujudkan

0
0