SHAH ALAM, 10 Februari 2025 – Fakulti Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani Surat Hasrat (LOI) dengan Sekolah Kebangsaan Damansara Utama (SKDU) dalam satu majlis rasmi di fakulti. Kerjasama ini bertujuan untuk memperkukuh pembangunan akademik dan sahsiah pelajar melalui program sukan dan rekreasi yang lebih terancang.
Dekan FSR, Profesor Madya Dr. Raja Mohammed Firhad Raja Azidin berkata, kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah adalah penting untuk memupuk budaya sukan dalam sistem pembelajaran holistik. “Kerjasama ini memberi pendedahan awal dalam bidang sains sukan dan rekreasi kepada pelajar, didukung oleh kemudahan fakulti,” tambah beliau.
Guru Besar SKDU, Encik Mohammad Izaham Bin Mohammad Noor, turut merakamkan penghargaan kepada FSR atas kesediaan berkongsi kepakaran dan kemudahan dalam pembangunan sukan dan rekreasi pelajar.
Sebagai sebahagian daripada lawatan, delegasi SKDU dibawa melawat beberapa makmal utama di fakulti, termasuk Makmal Prestasi Manusia, Makmal Rekreasi (RecLab), dan Klinik Sukan. Lawatan ini memberikan gambaran jelas tentang penerapan teknologi dalam meningkatkan prestasi atlet dan kecergasan individu.
Kerjasama ini juga dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pelajar sekolah untuk meneroka bidang sains dan pengurusan sukan, serta membantu dalam pembangunan akademik dan kemahiran kepimpinan mereka. Selain itu, FSR dan SKDU merancang untuk menawarkan kursus jangka pendek bagi para guru dalam bidang sains sukan prestasi tinggi.
Dengan kerjasama ini, diharap dapat memperkukuh pembangunan sukan negara, melahirkan generasi atlet muda berpotensi, dan memperkasa sukan akar umbi.