FSPU UiTM sasar taraf dunia bidang alam bina

Lebih 40 orang delegasi Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur (FSPU) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah membuat lawatan kerja ke FSPU UiTM Perak,kampus Seri Iskandar

SERI ISKANDAR 17 Mei- Lebih 40 orang delegasi Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur (FSPU) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah membuat lawatan kerja ke FSPU UiTM Perak,kampus Seri Iskandar pada kelmarin.

Delegasi ini telah diketuai oleh dekan fakulti, Prof. Dr. Jamalunlaili Abdullah bersama pengurusan kanan dan profesor fakulti, manakala UiTM Perak diwakili oleh rektornya iaitu Prof. Madya Dr. Md. Yusof Hamid diiringi oleh tiga orang timbalan rektor dan para pensyarah kampus.

Menariknya, lawatan yang julung kali melibatkan ramai pengurusan kanan ini telah menemui matlamat utamanya iaitu mengeratkan hubungan silaraturahim di antara warga FSPU, potensi kolaborasi di antara kampus induk dan cawangan dan taklimat inisiatif fakulti dalam mencapai Kedudukan 100 Terbaik QS Universiti Dunia dalam bidang alam bina.

Lawatan delegasi FSPU Shah Alam ke galeri reka hub FSPU Kampus Seri Iskandar, Perak. Gambar oleh Hanyzam Selamat.

Dalam program awal, wakil kampus Seri Iskandar telah memberi taklimat berkenaan kejayaan pembangunan program kampus hijaunya. Kemuncak program adalah dengan taklimat dekan bersama warga pendidik di kampus alam bina dan seni reka ini.

Dr. Jamalunlaili telah menggariskan 6 inisiatif dalam merealisasikan sasaran fakulti untuk tersenarai sebagai pusat alam bina yang unggul di dunia. Inisiatif yang selari dengan agenda Naib Canselor universiti ini termasuklah peningkatan infrastruktur dan infostraktur, media dan ketampakan global, penubuhan Pusat Alam Bina di Asia Tenggara dan Hab Reka Bina Puncak Alam, kenaikan pangkat melalui trak profesional dan menggadakan bilangan profesional bidang.

Fakulti yang telah ditubuhkan pada tahun 1967 ini berada di landasan yang betul untuk mencapai sasarannya ekoran pencapaian dan kejayaan yang membanggakan di dalam dan luar negara. Ini merangkumi bidang akademik, penyelidikan, perundingan, keusahawanan, jaringan industri, kerjasama antarabangsa dan seumpamanya.

Antara kejayaan yang paling membanggakan apabila bidang yang ditawarkan serta hasil pelajarnya mendapat pengiktirafan dan anugerah daripada badan dunia seperti Organisasi Taman Dunia, Institusi Diraja Juruukur Berkanun, Projek Bumi 2: Bandar untuk Esok (Belanda), Pertandingan Pelajar UN-Habitat 2018 (China), dan Bangunan Tinggi TBUH untuk Kategori Pelajar buildings (Abu Dhabi).

“Untuk mencapai sasaran sebagai pusat gedung ilmu terbaik dunia selari dengan visi dan misi fakulti ini, aspirasi yang saya gariskan ini perlulah mendapat sokongan daripada semua pihak terutamanya daripada warganya yang bertapak dalam lima kampus (Shah Alam, Puncak Alam, Seri Iskandar, Arau dan Kota Samarahan) di seluruh negara dengan kapasiti yang melebihi daripada 16,000u orang,” katanya.

Dekan percaya dengan tema ‘Kami FSPU’ dan ‘Sayangi FSPUku’ mampu memberi suntikan semangat tinggi kepada warganya untuk bersatu hati menjadikan fakulti yang antara terbesar di UiTM ini sebagai pusat ilmu alam bina di Malaysia dan dunia kelak.

Maklumat bidang dan kejayaan fakulti boleh diperolehi dengan melayari https://fspu.uitm.edu.my/v3/ yang dikendalikan oleh Unit Komunikasi Korporat (UKK) fakulti. Lawatan ini diakhiri dengan lawatan fasiliti kampus, majlis berbuka puasa dan solat maghrib bersama para pensyarah dan pelajar FSPU Seri Iskandar.

Oleh: Abdul Rauf Abdul Rasam
Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/fspu-uitm-sasar-taraf-dunia-bidang-alam-bina-1.903058

0
0