Seremban, 22 Oktober 2024- Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban telah menganjurkan program Syarahan Ulung bertajuk ”Dinamika Politik Kontemporari: Cabaran Terhadap Kestabilan, Keselamatan Negara dan Ketenteraman Awam” yang telah disampaikan oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri bertempat di Dewan Tok Puan Sungei Ujong 2, UiTM Seremban. Syarahan Ulung yang julung kali di adakan ini di hadiri oleh YBhg. Datuk Awang Alik bin Jeman, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, YDH IG Tan Sri Dato’ Razarudin bin Husain, Ketua Polis Negara, YDH Dato’ Sri Hazani bin Ghazali, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Prof Dr. Yamin Yasin, Rektor Kampus Cawangan Negeri Sembilan, Universiti Teknologi MARA, Prof Madya Dr. Nor Hafizah Mohamed Harith Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) Cawangan Negeri Sembilan.
Syarahan ini telah dianjurkan oleh Sekretariat Mahasiswa Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (SMF FSPPP) serta Persatuan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar (PIMPIN) UiTM Cawangan Negeri Sembilan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memberikan pendedahan kepada pelajar kepentingan kestabilan politik yang akan membawa kepada kemakmuran negara.
YB Datuk Seri Saifuddin Nasution juga telah memberikan penekanan berkaitan kerajaan yang mendapat sokongan daripada rakyat adalah penting dan akan menjadi faktor kepada kemakmuran ekonomi seterusnya membawa kepada Malaysia Madani yang maju. Bermula dengan pembentukan kerajaan perpaduan dengan memberikan penekanan kepada pentingnya institusi beraja di negara ini, seterusnya kepada kestabilan politik, keamanan negara, dan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam membentuk Malaysia MADANI yang stabil kesan dari rasa hormat menghormati di antara kaum dan meraikan perbezaan. Beliau juga menyentuh di antaranya, berkenaan dasar luar Malaysia yang tidak bermusuh dengan mana-mana negara kuasa besar, samada barat, timur, atau negara yang mempunyai ideologi yang berbeza dari Malaysia dan meraikan perbezaan pendapat. Selain itu, penguasaan kecerdasan buatan atau Artificial Intelligent (AI) juga telah diberikan penekanan dalam pentadbiran negara dan juga budget 2025.
FSPPP berasa berbesar hati dan beruntung terpilih sebagai universiti yang dapat bersama YB berkongsi ilmu yang telah di sampaikan yang berkisar tentang kepimpinan warga muda. Bersesuaian dengan UiTM sebagai sebuah universiti yang memberi peluang kepada kaum Melayu dan Bumiputera untuk menaik taraf kehidupan melalui pendidikan, program ini bakal memberikan pendedahan tentang peri pentingnya kestabilan politik dalam menjamin keamanan negara. Syarahan ini juga menyentuh tentang peri penting nya membina kepimpinan untuk masa hadapan yang lebih bertanggungjawab dan peka terhadap isu semasa. Sifat kepimpinan yang holistik dapat membawa keamanan dan kestabilan kepada negara. Di dalam negara yang berbilang kaum ini, sejarah perlulah difahami oleh generasi muda khususnya, bagi memastikan negara ini mampu hidup bersama dan saling memahami di antara satu sama lain.