FSKM UiTM Lancar Inisiatif Memperkasakan Golongan Autisme

SHAH ALAM, 2 APRIL 2022 – Bersempena dengan Hari Kesedaran Autisme Sedunia, satu Majlis Pelancaran National Autism Resource Center (NARC) Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah berlangsung di Aeon Mall Shah Alam. Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, Profesor Dr Norazah Abd Rahman. Pada majlis tersebut, dua (2) produk digital turut dilancarkan iaitu myTerapi dan AutisMall. MyTerapi dibangunkan untuk kegunaan masyarakat autisme dan masyarakat umum yang memerlukan khidmat terapi manakala AutisMall adalah sistem e-dagang bertujuan memberi ruang kepada golongan autisme, ibu bapa dan penjaga mereka untuk mengetengahkan produk masing-masing kepada masyarakat.

Profesor Dr Norazah Abd Rahman,berkata, National Autism Resource Centre (NARC), UiTM, telah memulakan langkah komprehensif dalam membantu masyarakat memahami golongan autisme, terutamanya kanak-kanak autisme, ibu bapa dan penjaga dengan pendedahan melalui siri-siri webinar sepanjang tahun 2020 sehingga sekarang ini. Selain itu, maklumat lengkap berkenaan keperluan asas seperti pendidikan awal, pengesanan awal autisme dan pusat- pusat kesihatan yang menyediakan kemudahan saringan awal autisme serta pusatintervensi setempat telah disediakan dalam tapak web yang boleh dicapai di www.narc.uitm.edu.my.

Menurut beliau lagi, NARC, dengan kerjasama Persatuan Autisme Malaysia (NASOM) Malaysia, telah berjaya membangunkan rumah cendawan berasaskan IoT di Pusat Latihan Vokasional NASOM Bandar Puteri, sekali gus dapat menjana pendapatan mereka yang tinggal di asrama tersebut. NARC juga telah berjaya membuat kolaborasi dengan ABA Technologies, USA, Kizzu Holdings Sdn Bhd, Universiti Komputer Indonesia (UNIKOM) serta telah berjaya mendapat geran hampir RM1 juta daripada Kementerian Sains dan Teknologi melalui inisiatif projek yang akan dibangunkan khas untuk kegunaan guru-guru di NASOM dan ibu bapa golongan autisme di Malaysia.

Datuk Megat Ahmad Shahrani bin Megat Sharuddin , Presiden NASOM , dalam ucapan beliau menyampaikan penghargaan atas usaha murni UiTM kerana membantu NASOM meningkatkan kesedaran serta penerimaan individu autisme dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaaan, NASOM perlu bekerjasama bersama semua pihak dalam usaha untuk menyediakan tempat yang mesra pengguna kepada individu autisme serta menyediakan tempat untuk semua pihak mendapatkan maklumat mengenai autisme.

Majlis turut dihadiri oleh Prof Dr Mohamad Hariri Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni), Profesor Ts Dr Haryani Haron, Dekan Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Puan Hajah Salmah Binti Jopri, Pengarah Bahagian Pendidikan Khas , Dr Salimah binti Hj Osman , Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Kesihatan Keluarga Sektor Kesihatan Orang Kurang Upaya, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pn Siti Fatimah binti Ismail, Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat, En Ahmad Khairuddin Albakri, Environment, Health & Safety Manager , Asia Pacific The Dow Chemical Company , Represent Country Director, Mr Paul Fong, En Shafie Shamsudin, Ketua Pegawai Eksekutif AEON Group Malaysia dan Puan Nori binti Abdullah, co-Founder “We Rock the Spectrum Gym”.

Majlis yang dianjurkan oleh NARC FSKM UiTM dengan kerjasama Fakulti Sains Kesihatan UiTM Shah Alam, NASOM Malaysia dan Kizzu Kids Shah Alam merupakan sebahagian daripada Program Pelancaran NARC yang bermula pada 31 Mac. Program yang berlangsung selama 3 hari ini menyediakan pelbagai aktiviti seperti pameran kesedaran kepada masyarakat tentang autisme, sesi saringan oleh juruterapi dan pakar psikologi dari NASOM, Kizzu Holdings dan Fakulti Sains Kesihatan dalam membuat pengesanan awal kanak-kanak autisme. Selain itu, aktiviti sensory play yang dikendalikan oleh NASOM dan Kizzu Holdings dapat memberi pendedahan kepada keluarga mengenai bentuk aktiviti yang boleh dilakukan di rumah kepada kanak-kanak autisme.