FSKM Santuni Komuniti FELDA

Umum mengetahui pandemik Covid-19 mengekang sebahagian besar pergerakan dan perjumpaan individu dalam bilangan yang ramai. Walau bagaimana , ia tidak wajar dijadikan alasan untuk kita tidak melaksanakan tugasan dan aktiviti harian terutama yang menyumbang kepada produktiviti dan kebaikan sejagat.

Sehubungan itu, sekumpulan pensyarah dan pelajar Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) Shah Alam telah menyantuni komuniti Felda melalui dalam talian menerusi program e-SULAM. Komuniti Felda yang terlibat adalah golongan belia dan warga emas Felda Jengka 2,4 , 6 ,12 dan 15.

FSKM memulakan e-SULAM ini dengan mengenalpasti permasalahan yang dihadapi oleh komuniti Felda. Hasil perbincangan awal, didapati komuniti Felda memerlukan khidmat nasihat dan kepakaran FSKM dalam 2 aspek utama iaitu kaedah melaksanakan perniagaan dalam talian dan juga bimbingan kesedaran mengenai penggunaan Internet yang selamat.

Berdasarkan dapatan berikut, pelbagai aktiviti dalam talian telah dirancang dan dilaksanakan. Bagi membantu komuniti melaksanakan perniagaan dalam talian, FSKM telah merangka dan melaksanakan beberapa aktiviti. Kumpulan pelajar FSKM telah menyediakan video latihan dalam talian yang membimbing komuniti Felda memulakan perniagaan dalam talian menggunakan Wix, Shopee dan Facebook. Ilmu pemasaran secara digital juga turut disampaikan seperti penggunaan Facebook Ad, Instagram dan cara menghasilkan e-poster . Pelajar juga turut mewujudkan platform e-markeplace sebagai tempat pemasaran produk IKS Felda.

Selain itu, komuniti Felda turut dibimbing etika penggunaan aplikasi dalam talian dan pendedahan mengenai keselamatan siber. Ini bertujuan untuk mendidik komuniti supaya tidak menjadi manga penipuan dalam talian atau scammer. Pelajar FSKM juga turut membantu menyediakan media sosial rasmi Pejabat Pengurusan Felda Jengka bagi memastikan maklumat sahih diedarkan dengan cepat dan tepat.

Pada Majlis Penyerahan Produk FSKM dan Penutup e-SULAM FSKM, Dekan FSKM , Profesor Ts Dr Haryani Haron mengatakan amat berbangga dengan inisiatif yang dijalankan oleh para pensyarah dan pelajar. Di saat dunia amnya dan Malaysia khususnya berdepan dengan pandemik COVID-19, ianya tidak menghalang para pensyarah dan pelajar untuk menganjurkan program e-Sulam dengan menggunakan platform yang ada. Di atas semangat dan kesungguhan semua pensyarah dan pelajar serta sambutan dan kerjasama baik daripada pihak FELDA, program ini telah berjaya dilaksanakan.

Tambah beliau lagi,adalah diharapkan agar hasil produk dan aktiviti yang telah dilaksanakan ini dapat sedikit sebanyak memberi nilai tambah dan memanfaatkan komuniti masyarakat di kawasan tuan-puan. Program-program seumpama ini wajarlah dilaksanakan pada masa-masa akan datang bagi membantu merapatkan hubungan di antara FSKM, UiTM dengan pihak FELDA.


Encik Termizi Lee, Pengarah Wilayah Felda Jengka berkata bahawa pendedahan kepada media sosial di kalangan penduduk FELDA adalah agak kurang berbanding di kawasan bandar-bandar besar. Oleh itu, program e-SULAM ini sangat bermanfaat kepada komuniti Felda Wilayah Jengka.

Beliau menambah lagi bahawa penduduk sangat berpuas hati produk digital yang telah dihasilkan oleh FSKM. Selain itu, media sosial pada masa kini sangat penting bagi penduduk untuk mengetahui tentang isu semasa di dalam dan luar negara. Walaubagaimanapun, menurut beliau bukan semua maklumat adalah benar. Maka, beliau berasa sangat bersyukur dengan adanya program seperti ini, penduduk dapat memanfaatkan penerangan tentang penyalahgunaan media sosial. Beliau berhasrat agar platform-platform yang telah diwujudkan oleh para pelajar dapat membantu masyarakat dan para pelajar sendiri untuk menimba pengalaman