Fakulti Sains Komputer dan Matematik telah mengadakan projek bersama komuniti dengan menterjemahkan kemahiran ICT yang mereka perolehi kepada masyarakat. Komuniti yang terlibat ialah pejabat pengurusan Felda Kota Gelanggi 4, Jerantut Pahang.
Projek SULAM merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan untuk mendedahkan kepada pelajar dengan menggabungkan objektif pembelajaran di bilik kuliah dengan aplikasi kepada komuniti. Projek ini bertujuan memberi pengalaman kepada pelajar dalam menyelesaikan permasalahan sebenar dalam komuniti dengan menghubungkaitkan teori dan praktikal. Memandangkan keterbatasan pelajar-pelajar untuk bertemu komuniti, projek ini dilaksanakan di atas talian dan dinamakan dengan E-SULAM.
Melalui perbincangan dengan komuniti Kota Gelanggi 4, Jerantut, Pahang secara dalam talian, pelajar-pelajar telah mengenalpasti beberapa isu dalam meningkatkan dan menambah nilai pejabat pengurusan felda yang telah dipilih. Projek ini telah berlaku dari Mei sehingga Julai 2021 selama 2 bulan. Dalam tempoh ini, pelajar-pelajar telah berbincang dari masa ke semasa melalui aplikasi Whatsapp dan Google Meet dengan pengurusan pejabat Felda Kota Gelanggi 4.
Projek E-SULAM kali ini telah melatih pelajar-pelajar untuk berkomunikasi dengan komuniti dalam memahami permasalahan yang mereka hadapi pada masa kini. Dalam mempromosikan aktiviti yang berlaku di felda ini, pejabat pengurusan mengharapkan pelajar-pelajar dapat membantu mereka membina platform Facebook dan juga Instagram memandangkan pengguna-pengguna muda masa kini mencapai berita melalui media sosial. Platform ini juga sesuai untuk memasarkan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) komuniti Felda Kota Gelanggi 4 bukan sahaja di Pahang malah di seluruh Malaysia. Pelajar-pelajar fakulti turut membangunkan laman web di samping Facebook dan juga Instagram. Laman web ini bertujuan pelaporan pejabat pengurusan Felda Kota Gelanggi 4 kepada ibu pejabat tentang berita-berita yang berlaku di wilayah mereka. Komuniti juga telah diberi latihan dan manual dalam menguruskan ketiga-tiga platform ini pada masa depan.
Dalam masa yang sama, pelajar-pelajar FSKM turut memberi pendidikan keselamatan penggunaan aplikasi diatas talian. Penggunaan aplikasi atas talian menjadi satu keperluan semenjak negara kita dilanda pandemik Covid-19. Memandangkan atas dasar ingin mendidik komuniti, pelajar-pelajar telah mencetak poster, kain rentang dan juga menyediakan video pendidikan keselamatan penggunaan dan perkongsian data ketika menggunakan aplikasi di internet.
Perkara ini amat serius kerana komuniti turut menyumbang kepada statistik peningkatan pengguna dalam pembelian atas talian. Antara perkara yang menjadi tumpuan utama bagi pendidikan keselamatan rangkaian komputer termasuk keselamatan siber, pengendalian dan penjagaan komputer, keselamatan pengendalian email peribadi, perkongsian maklumat di media sosial dan buli siber.
Pengarah Wilayah Felda Jengka, Encik Termizi Lee turut menyambut baik inisiatif ini dan berharap ia dapat diteruskan pada masa hadapan. Dengan projek E-SULAM ini, beliau berpendapat pihak universiti dapat bersama-sama komuniti dalam menyelesaikan sebahagian masalah mengikut kreativiti pelajar dengan perbincangan bersama-sama dengan pihak komuniti. Sedikit sebanyak pihak komuniti turut mendapat faedah dan ilmu pengetahuan hasil dari projek E-SULAM ini.
FSKM menekankan nilai pendidikan secara holistik kepada pelajar. Projek bersama komuniti ini adalah satu inisiatif yang perlu dilaksanakan secara konsisten agar pelajar dapat meningkatkan kemahiran dan nilai kendiri secara total. Projek E-SULAM ini dapat membangun daya intelek, keyakinan diri serta kemahiran kerja secara berpasukan di kalangan pelajar fakulti. Pembelajaran dan penilaian yang berasaskan pengalaman dengan penglibatan pelajar dalam projek ini secara tidak langsung mencabar kreativiti pelajar sepanjang proses pembelajaran tersebut.