FSKM Memperkasa Kuliah Dalam Talian Siri 1: Webex Enterprise

FSKM Memperkasa Kuliah Atas Talian Siri 1 : Webex Enterprise

Dalam membendung penularan Covid-19, Kerajaan telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu. Kesan daripada PKP tersebut, semua universiti awam dan swasta perlu menunda semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran(PnP).

Walau bagaimanapun, Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) tidak berdiam diri. Menyedari kepentingan penyampaian ilmu yang berterusan dan tanpa batasan , Dekan FSKM , Prof. Ts Dr Haryani Haron dengan pantas telah menubuhkan satu kumpulan gerak kerja yang dipanggil sebagai FSKM Online Teaching & Learning. Kumpulan ini dipengerusikan oleh Profesor Madya Dr Syed Ahmad Shekh Aljunid, pensyarah Pusat Pengajian Sains Komputer.

Kumpulan ini bertanggungjawab mengenal pasti perantara digital yang sesuai untuk diguna pakai bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara maya. Antara perantara yang diketengahkan ialah Webex Enterpise.

Webex Enterprise mempunyai kekuatan ciri-ciri yang tersendiri. Ia mampu menampung 1000 pelajar dalam satu-satu sesi kuliah tanpa had masa. Pengguna Webex Enterprise UiTM yang berdaftar juga akan diberikan simpanan awanan yang besar.

Tambahan lagi, suasana pembelajaran secara bersemuka masih boleh dilaksanakan walaupun di dalam talian. Webex Enterprise membolehkan perbincangan video definisi tinggi dilaksanakan. Ini membolehkan pensyarah dan pelajar melihat wajah rakan-rakan sekelas sekaligus berbincang sepert i berada di dalam kuliah fizikal.

Webex cuba mempraktikkan cara PnP fizikal. Sebagai contoh, sebagaimana para pensyarah sering memaparkan nota kuliah di skrin TV atau projektor di dalam bilik kuliah, ia juga boleh dilakukan di Webex Enterprise. Ia mempunyai ciri pengkongsian skrin di mana sebarang nota kuliah atau dokumen boleh dipaparkan dan dilihat oleh semua yang berada dalam bilik kuliah maya tersebut. Lebih menarik lagi, Webex Enterprise mempunyai ciri papan putih yang mana sebarang tulisan atau ilustrasi boleh dilakarkan secara masa nyata.

Webex Enterprise boleh dicapai melalui melalui pelayar di komputer peribadi , komputer riba dan aplikasi mudah alih. Ini memudahkan pensyarah dan juga pelajar untuk mengendalikan mahupun mengikuti kelas secara maya di mana sahaja. Pelajar yang tidak mempunyai capaian internet tidak akan ketinggalan kerana mereka boleh membuat panggilan menggunakan telefon pintar mereka dan menyertai kuliah tersebut.

Webex Enterprise juga dilengkapi ciri keselamatan yang mana setiap sesi kuliah maya boleh dirakamkan dan dienkripsikan. Oleh itu pengguna Webex Enterprise tidak perlu gusar kerana privasi terpelihara.

Webex Enterprise merupakan perantara yang menyokong kuliah secara maya dan holistik. Selain itu, ia amat praktikal bagi kakitangan UiTM untuk mengendalikan mesyuarat secara maya. Bekerja dari rumah kini lebih mudah dengan wujudnya perantara sebegini. Komunikasi antara kakitangan boleh dilaksanakan secara efisien seterusnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti.

Kumpulan gerak kerja Online Teaching & Learning bekerja secara proaktif dalam mengenal pasti perantara kuliah digital. Kumpulan ini turut mengendalikan latihan amali (hands-on) atas talian bagi membantu pengguna mengoptimumkan penguasaan perantara kuliah digital ini, sekaligus memperkasa PnP dalam talian.

Disediakan oleh Pasukan Gerak Kerja Webex FSKM :
PM Dr Syed Ahmad Shekh Aljunid
Puan Nurzeatul Hamimah Abdul Hamid
Encik Muhammad Azizi Mohd Ariffin
PM Dr Nasiroh Omar
Ts Dr Sharifah Aliman
En Arwin Idham Mohamad
Pn Zarina Zainol
Dr Ruhaila Maskat