Shah Alam, 21 Disember 2024 – Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencatat kejayaan memberangsangkan dengan meraih 10 anugerah termasuk Diamond Award di Invention, Innovation & Design Exposition (IIDEX2024) yang berlangsung secara hibrid dari 4 hingga 8 November 2024.
Program MyHOeME yang diketuai Prof. Madya Dr. Akehsan Dahlan muncul pemenang utama dengan meraih Diamond Award dalam kategori staf. Program ini, yang mendapat sokongan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), telah diterima pakai sebagai program standard untuk warga emas di klinik-klinik kesihatan seluruh Malaysia.
“MyHOeME direka untuk meningkatkan kualiti hidup warga emas melalui aktiviti fizikal, kognitif, sosial dan rekreasi selama lima minggu,” jelas Dr. Akehsan.
FSK turut meraih lima anugerah emas, empat perak dan satu gangsa melalui pelbagai inovasi termasuk BFREDLIIT, I-Independent For Children, dan CYTOUNIVERSE.
IIDEX2024 yang dianjurkan dengan kerjasama UiTM Cawangan Selangor dan UiTM Disability Services and Development Division (U-DServeD) serta penajaan Bank Islam Sdn. Bhd., menarik penyertaan dari pelbagai kategori termasuk kakitangan, pelajar UiTM dan bukan UiTM serta pelajar sekolah.
Kejayaan ini membuktikan komitmen FSK UiTM dalam menghasilkan inovasi berkualiti yang memberi impak positif kepada masyarakat dan pembangunan negara.