Tapah, 8 Jun 2024 – Bertempat di perkarangan perpustakaan desa dan Balai Raya Kampung Kassim, Tapah Road, telah berlangsung Program Free Market @ Tapah 3.0. Pada pukul 8.45 pagi, penduduk setempat telah datang ke perkarangan perpustakaan bagi mengambil barang-barang yang telah disumbangkan. Program ini berjaya dilaksanakan hasil pengumpulan barangan terpakai yang masih elok dari 44 orang penyumbang. Penyumbang-penyumbang ini terdiri daripada penduduk sekitar daerah Batang Padang, staf UiTM Tapah dan Seri Iskandar. Barang sumbangan yang paling banyak adalah dari kategori kategori pakaian, diikuti dengan pelbagai jenis beg, kasut, peralatan sekolah seperti uniform sekolah dan buku-buku rujukan. Terdapat juga sumbangan kelengkapan bayi seperti susu tepung, katil bayi, pengendong bayi dan kerusi bayi di dalam kereta. Selain itu, sumbangan dari kategori perkakasan dapur juga pihak kami terima seperti, pinggan mangkuk, dapur, bekas air dan macam-macam lagi.
Program Free Market @Tapah 3.0 ialah program kebajikan melibatkan sumbangan barangan dan perkhidmatan secara percuma oleh pensyarah dan pelajar Fakulti Sains Gunaan UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah. Target utama pengunjung adalah kepada semua warga Tapah dan sekitarnya yang tidak berkemampuan dan amat memerlukan sumbangan, golongan asnaf dan juga anak yatim.
Pada pukul 10.00 pagi, penyampaian keperluan asas oleh Ketua Fakulti Sains Gunaan, Dr. Fathiah Abdullah diiringi oleh Puan Zaidatul Shakila Mohamad Ashari selaku pengarah program kepada penduduk kampung yang terpilih. Antara keperluan asas yang berjaya disumbangkan ialah seperti tepung, garam, susu, bihun, gula dan sardin. Sumbangan keperluan asas ini adalah hasil kutipan ikhlas dari pensyarah Fakulti Sains Gunaan UiTM Tapah. Seramai 80 orang penduduk setempat yang dipilih oleh ketua kampung masing-masing telah menerima sumbangan keperluan asas tersebut.
Program berakhir pada pukul 1.00 petang, kesemua barang sumbangan berjaya dihabiskan kecuali beberapa helai pakaian dan buku-buku. Lebihan barang sumbangan ditempatkan semula di makmal fizik fasa 1 bagi tujuan program seterusnya.
Sebagai konklusinya, hasil program ini kerjasama antara perpustakaan desa, Balai Raya Kampung Kassim dan UiTM Tapah berjaya dijalinkan dan seterusnya menyuntik kesedaran serta nilai murni bagi melahirkan individu yang prihatin, bertimbang rasa dan menghargai orang lain.