Forum ‘Leaders With Excellence Academic’

SHAH ALAM – 5 Jun 2021, Jawatankuasa Perwakilan Kolej Melati Sesi 2021/2022 UiTM Shah Alam dengan Kerjasama Kolej 12 Universiti Putra Malaysia, Kolej Tun Ahmad Zaidi Universiti Sarawak Malaysia dan Kelab Pengucapan Awam Universiti Utara Malaysia telah mengadakan satu sesi forum yang bertajuk “Leaders with Excellence Academic” melalui platform youtube Melati TV Official. Seramai 1200 orang peserta dan 3 orang panel jemputan telah terlibat dalam menjayakan forum ini.

Forum ini merupakan usaha Exco Akademik Jawatankuasa Perwakilan Kolej Melati Sesi 2021/2022, Farahnaz Mohammad Anwar bersama Penasihat Program Puan Nur Idzhainee Hashim untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang ilmu pengetahuan yang selari dengan kecemerlangan akademik dan kecemerlangan kepimpinan. Selain itu, forum ini juga bertujuan untuk memupuk kesedaran di kalangan mahasiswa tentang kepentingan mempersiapkan anak muda kini dengan sahsiah yang mantap, berpengetahuan tinggi serta jati diri yang teguh dalam berdepan dan menangani dunia global yang semakin mencabar.

Forum “Leaders with Excellence Academic” ini telah menampilkan panel pertama iaitu Tuan Rizmel Nazrin yang merupakan President of Chambers of Social Responsibility Malaysia. Beliau juga merupakan Government Affairs Consultant, Hemp Global Industries, USA. Panel kedua pula iaitu Saudara Muhammad Khair bin Noor Hisham yang merupakan mantan Felo Perdana Kementerian Kewangan Malaysia dan penerima Best Student Award for Leader of Student Representative Council (MPP) UiTM Pahang. Seterusnya, panel ketiga iaitu Puan Nor Syafirah Abdul Samat yang merupakan Alumni JPK Kolej Melati, penerima Royal Education Award (Medal of Excellence) dari Majlis Raja-Raja Melayu dan penerima Award of Excellence by Ministry of Education, Republic of Korea.

Pengarah Program, Farahnaz Mohammad Anwar berkata forum “Leaders with Excellence Academic” ini memberikan impak dan maklum balas yang positif daripada para peserta. Justeru, program sebegini sangat penting kepada mahasiswa yang berminat dalam bidang kepimpinan dan pada masa yang sama ingin memperoleh keputusan yang cemerlang. Lanjutan daripada itu, beliau juga berharap agar universiti dapat melahirkan lebih ramai pelajar yang mempunyai keseimbangan dalam kedua dua akademik dan melahirkan pemimpin yang berwibawa pada masa akan datang.