JENGKA, 7 Jun 2024 – Konflik hidupan liar dan manusia di Malaysia dilihat semakin serius rentetan daripada kekerapan insiden yang dilaporkan berlaku. Sehubungan dengan itu, Organization of Biodiversity Club (ORBID) di bawah Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Pahang telah mengadakan “Forum Perdana: Konflik Hidupan Liar Dengan Kehidupan Seharian Manusia” khusus bagi pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Biodiversiti (AS255). Program yang diadakan secara maya ini telah dihadiri seramai 127 orang peserta yang terdiri daripada kalangan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Biodiversiti (AS255), pelajar dan pensyarah daripada Kampus UiTM Cawangan Pahang dan juga komuniti luar. Tujuan utama forum ini diadakan adalah untuk mengupas isu-isu berkaitan dengan hidupan liar-manusia dan impaknya kepada kehidupan seharian manusia dan seterusnya meningkatkan kesedaran berkaitan dengan konservasi hidupan liar.
Moderator program, Muhammad Daniel bin Hasmin merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Biodiversiti, UiTM Cawangan Pahang telah berjaya mengetengahkan isu hidupan liar dengan kehidupan manusia melalui sesi diskusi yang berinformatif dan padat daripada dua orang panel jemputan iaitu Professor Dr. Ahmad Bin Ismail, Presiden Persatuan Ekologi Malaysia yang juga merupakan pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), dan juga Encik Abdullah Zawawi Bin Yazid, Timbalan Pengarah Jabatan PERHILITAN Negeri Pahang. Kedua-dua panel yang dijemput mempunyai pengalaman yang luas dan kepakaran berkaitan dengan isu dan konservasi hidupan liar melalui pelbagai aktiviti penyelidikan sepanjang perkhidmatan mereka berada di dalam organisasi masing-masing.
Forum yang berjalan selama tiga jam ini dipecahkan kepada beberapa slot perbincangan, dimulai dengan slot apakah maksud sebenar konflik hidupan liar-manusia, disusuli dengan perbincangan tentang faktor-faktor yang membawa kepada wujudnya konflik tersebut, pendekatan yang boleh dilakukan bagi mengatasi konflik dan diakhiri dengan slot kepentingan kesedaran masyarakat terhadap konflik hidupan liar-manusia dan peranan masyarakat dalam membantu mengatasi dan mengurangkan konflik ini daripada berlaku. Penerokaan hutan yang tidak terkawal dan kehilangan habitat hidupan liar merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada wujudnya konflik hidupan liar-manusia. Pelbagai kajian kes melibatkan isu berkaitan hidupan liar di dalam Malaysia telah dikongsikan oleh kedua – dua panel dan pendekatan ini dilihat telah berjaya menyuntik elemen pentingnya kesedaran berkaitan isu hidupan liar diterapkan dalam kalangan masyarakat. Sesi soal jawab juga turut diselitkan sepanjang forum berlangsung bagi memberi peluang kepada peserta untuk mengutarakan sepanjang persoalan berkaitan dengan isu ini.
Maklum balas positif yang telah diberikan oleh para peserta berkenaan dengan keberhasilan program telah menunjukkan bahawa forum ini berjaya memberikan gambaran sebenar dan pemahaman berkaitan isu konflik hidupan liar kepada kehidupan manusia. Diharapkan program kesedaran seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan semoga input yang diberikan dapat membantu pelajar dan komuniti mengurangi dan mengatasi konflik daripada berlaku.