16 SEPTEMBER 2024 – Sempena sambutan Hari Malaysia dan penganjuran 100 tahun MAHA serta 25 tahun UiTM, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda MADA telah bekerjasama menganjurkan majlis Food Presentation Show pada 16 September 2024. Acara ini menampilkan 100 hidangan makanan Malaysia dengan melibatkan 25 pensyarah dan 53 pelajar dari Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP), yang terdiri daripada tiga program iaitu Sarjana Muda Pengurusan Kulinari (Kepujian), Sarjana Muda Perkhidmatan Makanan (Kepujian), dan Sarjana Muda Pengurusan Kulinari (Kepujian).
Antara pengisian program ini adalah penyediaan 100 menu makanan Malaysia termasuk Food Display & Styling di sepanjang Hari Malaysia. Kemuncak program ini adalah persembahan pentas 25 menu makanan Malaysia bagi meraikan 100 tahun MAHA. Para pengunjung, tempatan mahupun antarabangsa, berpeluang mencuba dan menikmati hidangan tersebut melalui pek Food Testing yang diagihkan sebanyak 2,500 pek daripada 100 menu makanan Malaysia yang disediakan oleh pensyarah dan pelajar.
Bagi melengkapkan lagi program ini, sebuah coffee table book bertajuk ‘Menu Sehidangan Malaysia’ akan dilancarkan di hadapan para pengunjung sebagai dokumentasi komprehensif menu makanan Malaysia, yang boleh dijadikan rujukan. Penganjuran program Food Presentation Show ini bertujuan menunjukkan kepada masyarakat bahawa makanan Malaysia mempunyai nilai komersial yang tinggi, dan agrokulinari merupakan salah satu cabang daya tarikan dalam sektor agromakanan. Persembahan makanan yang menarik ini turut mencerminkan budaya dan tradisi sesebuah masyarakat, sekali gus membantu menyebarluaskan nilai budaya dan warisan kepada masyarakat tempatan dan pengunjung antarabangsa. Seiring dengan tema agrokulinari, iaitu “Rasai Keenakan, Nikmati Kegembiraan”, para pengunjung yang menghadiri program ini akan menikmati pengalaman yang menyeronokkan serta meninggalkan kenangan indah sepanjang acara ini.