Focus Visit Audit ISO 9001:2015 dari Llyod’s Register Quality Assurance (LRQA)

SHAH ALAM, 6 Disember 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah berjaya memperoleh Audit Bersih pada Focus Visit Audit ISO 9001:2015 daripada Llyod’s Register Quality Assurance (LRQA). Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) selaku Sekretariat Pengurusan Kualiti Korporat UiTM telah menguruskan Focus Visit Audit ISO 9001:2015 yang diadakan pada 6 Disember 2024 (Jumaat) secara dalam talian melalui Microsoft Team.
Sesi audit secara dalam talian ini diketuai oleh Auditor Lloyd’s Encik Too Hing Yew. Mesyuarat Pembukaan Focus Visit Audit telah dihadiri oleh Naib Canselor UiTM iaitu YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, FASc., Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UiTM merangkap Wakil Pengurusan iaitu YBhg. Profesor Datin Dr. Suzana binti Sulaiman serta ahli-ahli Majlis Eksekutif Universiti (MEU) dan audit bagi Pusat Tanggungjawab (PTj) yang terlibat.
Skop audit pada kali ini lebih menfokuskan kepada enrolmen pelajar iaitu daripada Bahagian Pengambilan Pelajar, Pengurusan Rekod Konvokesyen daripada Bahagian Pengurusan Rekod Pelajar dan Konvokesyen serta infrastuktur dan persekitaran tempat kerja daripada Jabatan Pembangunan dan Jabatan Digital. Kaedah yang digunakan oleh auditor adalah melalui semakan dokumen digital dan juga sesi temu bual bersama dengan pihak pengurusan dan staf pentadbiran fakulti dan juga PTj. Sebanyak tujuh PTj yang terlibat dalam sesi audit pada kali ini. Hasil penemuan ini mencerminkan keberkesanan sistem yang telah kita bangunkan bersama serta kemampuan kita untuk mematuhi standard dan garis panduan yang ditetapkan.

Semoga kejayaan ini dapat dijadikan sebagai pendorong dan semangat bagi UiTM untuk terus komited serta mengekalkan Pemantapan Sistem Pengurusan Kualiti agar lebih banyak kejayaan yang membanggakan dapat dicapai pada masa akan datang.