FKPM UiTM Melaka Berjaya Dalam Penganjuran Projek Pengantarabangsaan Bersama FISIP UNPAD

ALOR GAJAH, 13 JUN 2024 – Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Melaka telah menjalankan satu Projek Pengantarabangsaan bersama Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik (FISIP), Universitas Padjadjaran (UNPAD), Bandung Indonesia.

Projek yang mendapat sokongan daripada Yang Berbahagia Rektor UiTM Cawangan Melaka, Profesor Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini ini telah berlangsung dari 10 Jun 2024 sehingga 13 Jun 2024 melibatkan penyertaan sejumlah 53 orang ahli Delegasi dari UNPAD iaitu terdiri daripada 39 orang pelajar dan 14 orang pensyarah. Sejumlah dua program utama telah dijalankan di bawah Projek Pengantarabangsaan ini iaitu Program International Conference on Communication, Media and Politics 2024 (ICCMP 2024) serta Program Citra Nusantara di bawah kelolaan Jawatankuasa Pensyarah dan Pelajar FKPM.

Antara pengisian menarik dalam kedua-dua program ini ialah (1) Majlis Malam Citrawarna sempena ketibaan Delegasi UNPAD ke UiTM Cawangan Melaka, (2) Majlis Perasmian ICCMP 2024 oleh Yang Berbahagia Rektor UiTM Cawangan Melaka, Profesor Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini, (3) Sesi Perkongsian dan Ucaptama oleh wakil UNPAD serta wakil Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), (4) sesi perbincangan meja bulat di antara pihak FKPM UiTM Cawangan Melaka, FISIP UNPAD dan ITBM berkaitan kolaborasi strategik pada masa hadapan, (5) sesi pembentangan kertas-kertas kerja oleh pensyarah dan pelajar daripada kedua-dua buah institusi, (6) Program Lawatan ke Radio Televisyen Malaysia (RTM) Melaka di mana adanya sesi Forum Ilmiah dan lawatan ke bilik berita, serta (7) Majlis Penutupan ICCMP 2024 dan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi kategori-kategori yang dipertandingkan.

Projek pengantarabangsaan yang dijalankan ini ternyata berjaya dari sudut kelancaran segala perancangan yang telah diaturkan bagi pengisian keempat-empat hari program. Maklum balas yang diterima daripada majoriti para peserta jelas mempamerkan sisi positif projek ini yang memberikan impak begitu besar kepada mereka yang rata-ratanya adalah kali pertama melawat ke negara Malaysia. Para peserta ternyata mempelajari pelbagai pengetahuan baharu berkaitan keunikan budaya masyarakat di negara ini misalnya dari segi bahasa dan pelbagai hal sepanjang program empat hari ini. Malah, projek pengantarabangsaan yang dijalankan ini juga telah membuka ruang untuk wakil-wakil daripada kedua-dua buah institusi bagi berbincang secara bersemuka berkaitan perancangan kolaborasi strategik pada masa hadapan yang boleh memanfaatkan kedua-dua belah pihak.

Projek pengantarabangsaan yang dijalankan ini turut mendapat liputan media daripada beberapa agensi berita termasuklah Harian Metro, Bernama serta RTM. Perkara ini jelas memberikan satu refleksi positif berkaitan kejayaan kolaborasi strategik yang dijalankan oleh pihak FKPM UiTM Cawangan Melaka bersama FISIP UNPAD serta menjadi indikator penting dalam peningkatan keterlihatan UiTM di peringkat antarabangsa. Projek ini diharapkan dapat menjadi batu loncatan ke arah lebih banyak perancangan dan pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi di masa hadapan oleh pihak FKPM bersama institusi-institusi dalam dan luar negara.

Penulis : Dr. Mohamad Hafifi Jamri, Profesor Madya Dr. Abdul Rauf Ridzuan, Siti Nur Farrah Faadiah Ab Ghani