FKPM UiTM Cawangan Melaka Terus Perkukuh Hubungan Bersama PTAR

ALOR GAJAH, 5 JULAI 2024 – Satu Sesi Libat Urus Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Melaka bersama pihak Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), UiTM, Cawangan Melaka telah dijalankan baru-baru ini pada 5 Julai 2024 (Jumaat) dari jam 9 pagi hingga 11.30 pagi bertempat di Bilik Mesyuarat Utama PTAR, Kampus Alor Gajah.

Sesi ini telah dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, UiTM, Cawangan Melaka iaitu Encik Norhazlan Nordin di samping turut dihadiri oleh 5 orang staf PTAR yang turut membantu dalam sesi perkongsian dan penerangan. Manakala, pihak FKPM UiTM Cawangan Melaka telah diwakili oleh Profesor Madya Dr. Abdul Rauf Ridzuan selaku Ketua Pusat Pengajian (KPP), Puan Siti Nur Farrah Faadiah Ab Ghani selaku Koordinator Program (KP) serta Dr. Mohamad Hafifi Jamri selaku Pegawai Perhubungan Perpustakaan FKPM.

Sesi libat urus yang dijalankan oleh pihak PTAR ini jelas merupakan usaha yang amat penting dalam mendedahkan wakil FKPM berkenaan perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak PTAR. Melalui kolaborasi strategik yang dijalankan, ia membolehkan maklumat-maklumat penting daripada pihak PTAR dapat disalurkan secara efektif kepada warga FKPM secara keseluruhannya baik di peringkat pelajar mahupun staf akademik dan pentadbiran FKPM. Perkara ini akhirnya memberikan manfaat kepada keseluruhan warga FKPM itu sendiri.

Di samping itu, melalui sesi ini, pihak PTAR juga membuka ruang dan peluang kepada wakil FKPM dalam melontarkan cadangan-cadangan ke arah menjadikan kolaborasi strategik yang dijalankan menjadi lebih berkesan serta peningkatan kualiti perkhidmatan PTAR secara keseluruhannya. Antaranya ialah program-program, aktiviti-aktiviti serta projek-projek masa hadapan yang dapat dirancang di antara kedua-dua buah jabatan.

Visibiliti dan prestasi pihak PTAR dalam penyediaan perkhidmatan sememangnya amat berkesan melalui pelbagai maklum balas yang diberikan oleh pelajar serta warga staf akademik dan pentadbiran UiTM. Melalui cadangan-cadangan yang dijana secara bersama oleh wakil kedua-dua buah jabatan semasa sesi libat urus ini, adalah diharapkan supaya ia dapat menyumbang ke arah peningkatan mutu serta kualiti perkhidmatan PTAR sekaligus memanfaatkan seluruh warga UiTM dan meningkatkan lagi reputasi serta imej cemerlang UiTM.