ALOR GAJAH, 5 SEPTEMBER 2024 – Satu sesi pertemuan di antara pihak Easytools Asia Sdn. Bhd. bersama pihak Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Melaka telah dijalankan baru-baru ini bertempat di Interactive Media Smart Classroom, Bangunan KPP3. Puan Feez Latiff selaku Chief Executive Officer, Easytools Asia Sdn. Bhd. hadir bersama pasukan manakala pihak FKPM diwakili oleh Profesor Madya Dr. Abdul Rauf Ridzuan selaku Ketua Pusat Pengajian (KPP) FKPM serta para Pensyarah FKPM iaitu Puan Ilya Yasnorizar Ilyas, Puan Rosilawati Sultan Mohideen, Ts. Mohd Hilmi Bakar, Dr. Mohamad Hafifi Jamri serta Puan Siti Aminah Abd Wahab.
Antara perkara utama yang dibawa oleh pihak Easytools Asia Sdn. Bhd. dalam sesi pertemuan ini adalah memperkenalkan dan memberikan perkongsian berkenaan Program Mash-Up Edutainment yang boleh dijalankan bersama pihak FKPM di masa akan datang. Aspek pemasaran, penjenamaan serta strategi komunikasi dalam era teknologi komunikasi yang serba canggih dan kian berkembang ini antara pengisian penting yang ditekankan oleh Puan Feez Latif dalam perkongsian yang dijalankan oleh beliau bersama pihak FKPM.
FKPM UiTM Cawangan Melaka sentiasa terbuka dalam menjalinkan kolaborasi strategik bersama rakan-rakan industri baharu dalam meningkatkan visibiliti serta reputasi Fakulti serta universiti secara keseluruhannya. Semestinya, melalui kolaborasi yang dijalankan, pelbagai manfaat boleh dicapai di antara kedua-dua belah pihak baik dari segi kerjasama program yang bakal dijalankan pada masa hadapan di samping menjadi platform berguna dalam pertukaran idea serta pertimbangan dalam meniti keperluan masing-masing seperti tenaga kepakaran yang mungkin boleh disumbangkan misalnya dalam aspek penyelidikan. Malah, kadangkala, medan ini juga menjadi pembuka jalan ke arah perolehan maklumat berkaitan keperluan di industri untuk pelajar FKPM dan UiTM menjalani latihan di sana.
Perkongsian yang disampaikan oleh Puan Feez Latif dilihat berupaya diterjemahkan melalui inovasi dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) pada masa akan datang bersama golongan pelajar. Elemen didik hibur dalam PdP dilihat efektif dalam membolehkan golongan pelajar lebih santai dalam menerima maklumat sekaligus dapat mempraktikkannya dengan berkesan dalam kehidupan serta pekerjaan di masa hadapan.
Penulis bersama: Ilya Yasnorizar Ilyas, Rosilawati Sultan Mohideen, Profesor Madya Dr. Abdul Rauf Ridzuan, Dr. Mohamad Hafifi Jamri, Ts. Mohd Hilmi Bakar, Siti Aminah Abd Wahab