ALOR GAJAH, 22 JULAI 2024 – Satu sesi pertemuan dan perbincangan di antara pihak Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Melaka bersama Tuan Mohammad Arif Haron, Penolong Pengarah Bahagian Penyelarasan Negeri, Pejabat Negeri Melaka, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah dijalankan baru-baru ini bertempat di MassComm Research Lounge, Bangunan KPP3, UiTM Cawangan Melaka.
Sesi ini telah dipengerusikan oleh Profesor Madya Dr. Abdul Rauf Ridzuan, Ketua Pusat Pengajian (KPP), FKPM, UiTM, Cawangan Melaka di samping turut dihadiri oleh beberapa orang Pensyarah Kanan FKPM iaitu Puan Ilya Yasnorizar Ilyas, Puan Rosilawati Sultan Mohideen serta Dr. Mohamad Hafifi Jamri.
Agenda pertemuan ini lebih terarah kepada perbincangan berkaitan perancangan projek, program serta aktiviti yang bakal dijalankan pada masa akan datang melibatkan kerjasama kedua-dua buah institusi. Sebelumnya, antara aktiviti yang pernah dijalankan ialah Program SULAM Klik Dengan Bijak yang membolehkan adanya perkongsian berkenaan bahaya penipuan di atas talian, kepentingan untuk sentiasa berwaspada dalam evolusi teknologi komunikasi digital yang semakin pantas dan pelbagai lagi intipati baharu bersama para peserta yang terdiri daripada pelajar dan pensyarah.
Menerusi pertemuan yang dijalankan ini, ia membolehkan idea-idea baharu berkaitan projek-projek pada masa akan datang melibatkan kolaborasi strategik kedua-dua buah institusi ini dapat dijana sekali gus bakal memanfaatkan kedua-dua belah pihak. Kerjasama ini juga semestinya membolehkan peningkatan imej, reputasi serta kredibiliti kedua-dua buah institusi dalam menyokong arus pemodenan dan digital yang memungkinkan manfaat pelaksanaan program-program yang dirancang dapat dicapai dengan jayanya.
Penulis: Ilya Yasnorizar Ilyas, Rosilawati Sultan Mohideen, Profesor Madya Dr. Abdul Rauf Ridzuan, Dr. Mohamad Hafifi Jamri