FKA UiTM galakkan mahasiswa ceburi keusahawanan

Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) membuka peluang dan menggalakkan mahasiswa menceburi bidang keusahawanan dengan mengadakan program bertajuk ‘Seminar on Engineer to Entrepreneur‘ yang berlangsung pada 18 April 2019 di Dewan Kuliah A, Kompleks Kejuruteraan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Program ini bertujuan menyediakan bakal graduan dan mahasiswa sekarang dengan maklumat penting bagi menceburi bidang keusahawan dan menjadikan usahawan sebagai kerjaya.

Ketua jawatankuasa pelaksana program, Prof Dr Hamidah Mohd Saman yang juga Timbalan Dekan Peyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni FKA UiTM berkata, menerusi program itu, mahasiswa didedahkan dengan pelbagai pengisian penting yang merangkumi tiga isu utama iaitu persediaan keterlibatan jurutera dalam bidang keusahawanan, pendedahan kepada peranan dan peluang peluang pembangunan usahawan dalam pembinaan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) selain boleh mendaftar terus dengan pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dijemput turut serta dalam program tersebut.

Perkongsian mengenai persediaan dan keterlibatan jurutera dalam bidang keusahawanan disampaikan oleh Ketua Kelab Alumni FKA UiTM, Dato’ Ir. Rozlan Ahmad Zainuddin. Beliau menggesa bakal graduan supaya bersiap sedia menghadapi cabaran alam berkejaya dan menggalakkan mahasiswa menceburi bidang keusahawanan serta tidak hanya terbelenggu dengan stigma ‘makan gaji’.

Program ‘Seminar on Engineer to Entrepreneur’ itu juga mendapat kerjasama daripada wakil Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Encik Muhammad Noor Idris dan Encik Mohd Azmi Dzulkifli yang menyampaikan informasi berkenaan peranan dan pendaftaran kontraktor CIDB serta isu pembangunan usahawan dalam sektor pembinaan.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melalui wakilnya, Puan Norhayati Binti Mohd Yusof telah memberi penerangan berkenaan tatacara dan aspek perundangan bagi membuka syarikat selain membuka kaunter untuk mendaftar terus dengan SSM bagi membolehkan mahasiswa yang berminat membuka syarikat sendiri dan menceburi bidang keusahawanan.

Program tersebut merupakan projek pertama Jawatankuasa Alumni FKA UiTM pada tahun 2019, yang telah diarahkan oleh Encik Mohd Ridzuan Mohd Ali dengan usahasama Dr. Nor Azmi Bakhari selaku Koordinator Keusahawanan FKA UiTM. Program sehari ini telah berjaya menarik minat seramai 80 peserta dan terbuka kepada semua pensyarah, pelajar dan alumni UiTM.

1
0