Fitawave 2019 medan cungkil bakat pembikin filem

Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Dr. Azraai Kassim (barisan belakang tujuh dari kiri) bergambar bersama tetamu khas dan pemenang-pemenang pada Majlis Penyampaian Anugerah Filem Pendek Fitawave 2019 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) di sini malam semalam. – ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM 14 Jun – Anugerah Filem Pendek Fitawave 2019 mampu menjadi medan untuk mencungkil bakat baharu dalam pelbagai aspek perfileman.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Azraai Kassim berkata, anugerah tersebut bukan sahaja melibatkan peserta dalam kalangan pelajar Fakulti Teater dan Animasi (Fita) malahan membabitkan pelajar sekolah dan institusi kesenian seperti Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

“Anugerah Fitawave 2019 adalah medan untuk mencungkil bakat baharu dalam bidang perfileman dengan penghasilan filem pendek yang ditetapkan kriterianya oleh pihak penganjur.

“Sambutan amat menggalakkan dengan 200 penyertaan diterima dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, “katanya berucap merasmikan majlis tersebut di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Pengarah Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Malaysia, Datin Paduka Ir. Siti Hamisah Tapsir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Pengarah Filem, Datuk Yusof Haslam.

Pada majlis tersebut, Aswara muncul pemenang bagi kategori Institut Pengajian Tinggi Awam atau Kolej dengan filem bertajuk Lukisan Jalanan, sekaligus membawa pulang wang tunai RM10, 000, piala berserta sijil.

Bagi kategori sekolah pula, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari di Sungai Petani muncul pemenang dengan filem bertajuk Kertas Renyuk, manakala kategori terbuka dimenangi Binfilem dengan filem bertajuk Sisabinasa.

Anugerah popular pilihan khalayak pula dimenangi SMK Seksyen 18, dengan filem berjudul Yol.

Dalam pada itu Azraai berkata, penganjuran anugerah tersebut bertaraf nasional dan bukan sekadar penganjuran rutin di peringkat universiti atau fakulti semata-mata.

“Anugerah Fitawave 2019 ini berfungsi sebagai platform untuk pihak UiTM mempamerkan, memasarkan, menjual kemahiran dan bakat pelajar kepada warga industri seni kreatif tempatan mahupun luar negara yang hadir pada malam ini, jadi penilaian adalah di peringkat nasional bukan terhad di peringkat fakulti dan universiti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Sumber:
http://www.utusan.com.my/hiburan/fitawave-2019-medan-cungkil-bakat-pembikin-filem-1.918143

0
0