Shah Alam, 5 Mei 2023 – Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman Perindu sesi 2023/2024 dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Shah Alam Fire and Rescue Station telah menganjurkan program keselamatan Fire Drill “Perindu On Fire” bertempat di Dataran Kolej Kediaman Perindu, UiTM Shah Alam. “Perindu On Fire” merupakan latihan kebakaran bertujuan untuk mendidik warga Kolej Kediaman Perindu supaya mengutamakan keselamatan sekiranya kebakaran berlaku.
Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran warga kolej tentang bahaya kebakaran serta meningkatkan pengetahuan dan kecekapan dalam mengambil tindakan sekiranya kebakaran berlaku. Program berkategorikan keselamatan ini secara tidak langsung dapat memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ke-3, 4 dan 11 iaitu Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, Pendidikan Berkualiti dan Bandar dan Masyarakat Mampan.
Program yang berdurasi lebih kurang dua jam ini telah disempurnakan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Shah Alam Fire and Rescue Station. Pasukan dari Shah Alam Fire and Rescue Station telah memberikan taklimat tentang langkah-langkah pencegahan dan cara mengatasi kebakaran kepada warga Kolej Perindu. Selain itu, warga Kolej Perindu juga telah didedahkan secara praktikal tentang cara yang betul untuk memadam api yang sedang marak dengan menggunakan alat pemadam api. Pendedahan keselamatan seperti ini sememangnya penting bagi membolehkan warga kolej bersedia sekiranya berlaku kebakaran atau perkara-perkara yang tidak diingini.
Program ini telah mendapat sambutan yang sangat baik apabila lebih daripada 700 orang penghuni kolej telah menyertai latihan kebakaran ini. Turut serta dalam program ini ialah YBrs. Prof. Madya Sr. Dr. Ahmad Nazrin Aris Anuar (Pengetua Kolej Kediaman Perindu), Staf Pentadbiran, Staf Residen Kolej dan barisan Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman Perindu.
Tuntasnya, program “Fire Drill” seperti ini merupakan program wajib yang perlu dilaksanakan oleh semua warga UiTM dalam memupuk warganya untuk sentiasa mengutamakan keselamatan. Program ini semestinya memberikan pengalaman kepada mahasiswa tentang cara yang betul untuk menyelamatkan diri dalam kebakaran sekaligus dapat membantu keluarga dan masyarakat dalam mempelajari teknik menyelamatkan diri dan cara penggunaan alat pemadam api yang betul sekiranya kebakaran berlaku.