Fikry Ibrahim bantu penuntut UiTM

Foto Instagram uitm_masscomm72

PELAKON Fikry Ibrahim tampil menghulurkan bantuan kepada penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang terjejas akibat wabak Covid-19, dua hari lalu.

Fikry berkata, dia terpanggil untuk memberikan sumbangan berupa barangan makanan kerana mengenangkan nasib penuntut yang tidak dapat pulang ke kampung halaman berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Saya pernah bergelar penuntut dan pernah juga tidak makan kerana menghadapi masalah kekurangan wang. Jadi saya faham situasi yang mereka sedang lalui membuatkan saya menghubungi pihak UiTM yang menguruskan hal ehwal penuntut ini untuk memanjangkan bantuan berkenaan.

“Saya juga faham perasaan apabila tidak dapat pulang ke kampung. Jadi saya ambil peluang ini untuk ringankan beban. Ini hanyalah sumbangan kecil saya untuk mereka. Tiada siapa yang memaksa untuk buat semua ini,” katanya.

Menurut Fikry, dia juga berharap usaha yang dibuat ini tidak disalah ertikan atau dituduh menunjuk-nunjuk oleh mana-mana pihak.

“Saya harap usaha ini turut dilakukan oleh orang lain. Saya tak tahu berapa lama bekalan makanan itu boleh bertahan. Saya berharap semoga lebih ramai yang akan membantu tidak kisahlah dalam apa jua situasi,” katanya.

Oleh Najiy Jefri
Sumber: https://www.hmetro.com.my/rap/2020/03/556968/fikry-ibrahim-bantu-penuntut-uitm