Sungai Buloh, 20 Oktober 2024 – Festival Kolej (FESKO) 2024 yang bertemakan “Gemala Bayu Purnama” telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK 23/24) dan sekretariat kolej UiTM Cawangan Selangor Kampus Sungai Buloh. Festival ini berlangsung selama tiga hari, bermula dari 18 hingga 20 Oktober 2024. Pelbagai aktiviti dan pertandingan bertemakan tradisional telah diadakan dengan tujuan mengangkat budaya serta memupuk semangat kesatuan dalam kalangan warga kampus.
Penutupan rasmi festival telah disempurnakan oleh YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor (UCS), diiringi oleh YBrs. Prof. Madya Dr Mohd Haidzir Abdul Manaf, Penolong Rektor Kampus Sungai Buloh, serta barisan pengurusan kolej. Program ini mendapat sambutan yang meriah dengan kehadiran lebih daripada 500 pelajar kolej kediaman dan staf dari Kampus Sungai Buloh.
Festival ini bukan sahaja menjadi platform untuk pelajar menunjukkan bakat dan kreativiti mereka melalui aktiviti dan pertandingan yang diadakan, tetapi turut berjaya mempereratkan hubungan ukhwah dalam kalangan komuniti kampus. Ia juga memberi peluang kepada pelajar dan kakitangan untuk berinteraksi, bekerjasama dan mengeratkan lagi semangat perpaduan.
Semoga penganjuran festival seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk terus memupuk semangat kekitaan serta memartabatkan warisan budaya tradisional di peringkat institusi