Fenomena Golden Melon UiTM Cawangan Pahang telah melabuhkan tirainya setelah 9 hari hangat menemui peminatnya bermula 1 September 2022 sehingga 9 September 2022. Projek Golden Melon yang dijalankan dibawah Projek MyAgrosis UiTM Cawangan Pahang telah diketuai oleh Adam Bin Zakaria selaku Ketua Projek dan dibimbing sepenuhnya oleh Encik Mohamad Amir Shah Bin Yusop selaku Koordinator MyAgrosis dan juga merangkap Penasihat Projek Golden Melon. Penanaman Golden Melon ini merupakan percubaan pertama dibawah Projek MyAgrosis UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka dan Alhamdulillah ianya telah mencatat fenomena tersendiri di Kampus Jengka dan sekitarnya. Sambutan yang hangat telah mengukir senyuman buat Adam Zakaria dan Encik Mohamad Amir Shah Yusop setelah bertungkus lumus menjayakan projek ini.
Golden melon yang ditanam melalui kaedah fertigasi mengambil masa tiga bulan bermula daripada penyediaan kawasan, penanaman, penjagaan sehinggalah kepada proses penuaian. Penjagaannya yang rapi amat dititikberatkan bagi memastikan setiap buah yang dihasilkan mempunyai kualitinya yang tersendiri. Hasil daripada penjagaan ini, maka lahirlah buah golden melon yang mempunyai warna kuning keemasan yang menawan setiap mata memandang. Kerangupan, kemanisan dan baunya yang wangi telah memukau setiap yang mencubanya.
Pemasaran Golden Melon dibawah Adama Global Enterprise telah meletakkan cogan kata “Rangup, Manis, Wangi” bagi menarik minat pelanggan. Pusat Jualan Unit Pengurusan Ladang UiTM Cawangan Pahang menjadi lokasi utama bagi penjualan hasil golden melon kepada seluruh kakitangan Kampus Jengka. Ada juga peminat yang terus ke tapak projek golden melon untuk memetik buah terus dari pokok bagi mencipta kelainan tersendiri. Buat penduduk sekitar Jengka, Adam Zakaria telah mengambil inisiatif membuat jualan di Pasar Tani Bandar Pusat Jengka pada hari Selasa dan juga Khamis.
Golden Melon hasil air tangan Adam Zakaria dan Encik Mohamad Amir Shah menjadi fenomena bagi setiap yang merasanya dimana kesedapannya membuat pelanggan yang membeli kali pertama akan datang untuk kedua kalinya bagi mendapatkan buah ini. Komen positif juga diterima tentang kemanisan dan kerangupannya dari setiap pelanggan yang membelinya. Jualan golden melon telah melabuhkan tirainya bagi musim pertama penanaman ini setelah hasil melon sepenuhnya habis terjual. Semoga projek penanaman ini dapat diteruskan lagi untuk mencipta fenomena tersendiri.