FBM Unite – Penyambung Legasi Kepimpinan Mampan dan Hubungan Harmoni Dikalangan Pelajar FPP

10 Oktober 2024 – Lebih 1,800 pelajar baharu Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), menghadiri program tahunan FBM Unite yang berlangsung di Dewan Berlian, UiTM Kampus Puncak Alam. Program ini bertujuan memperkenalkan pelajar baharu kepada suasana kampus sambil mengukuhkan hubungan antara pelajar baharu dan sedia ada, memupuk bakat kepimpinan serta menggalakkan kerjasama strategik dalam kalangan persatuan dan kelab di bawah pemantauan HEP FPP.

Dengan pendekatan mesra kampus, program ini memberikan ruang untuk pelajar baharu memahami peranan Seketariat Mahasiswa Fakulti (SMF) dan persatuan dalam membimbing mereka menerokai peluang yang ada di FPP.

Sebagai sebuah fakulti yang menyokong pertumbuhan bakat pelajar, FPP terkenal dengan 15 persatuan akademik dan 4 kelab yang aktif menggerakkan pelbagai program selaras aspirasi UiTM. FBM Unite menjadi medan yang ideal untuk mempamerkan kekuatan kolektif ini, memberikan peluang kepada persatuan dan kelab untuk memperkenalkan misi mereka serta berkongsi aktiviti yang dirancang bagi tahun akademik ini.

Dalam sesi pembukaan, wakil SMF menyatakan komitmen mereka dalam membantu pelajar baharu membina daya kepimpinan dan kemahiran sosial yang penting bagi mengharungi kehidupan di universiti dan alam kerjaya. “FBM Unite menyediakan platform awal untuk pelajar baharu membina hubungan positif dan menyertai persatuan bagi mengembangkan bakat dan kepimpinan mereka,” ujar wakil SMF, yang menyatakan hasrat agar setiap pelajar dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang ini.

FBM Unite juga menumpukan pada pengembangan bakat dan peningkatan keyakinan diri. Pelbagai bengkel dan sesi simulasi penganjuran acara dianjurkan bagi memberi pengalaman praktikal dalam kepimpinan dan pengurusan projek berkumpulan. Pelajar baharu mendapat peluang untuk menyelami konsep kerja berpasukan dan mempraktikkan kemahiran perancangan acara dalam suasana yang kondusif.

FBM Unite menjadi titik permulaan yang penting bagi perjalanan akademik pelajar baharu di UiTM. Dengan jalinan persahabatan dan semangat kerjasama yang dibina melalui program ini, diharapkan mereka akan lebih bersemangat untuk menghadapi cabaran dan menyumbang kepada pembangunan komuniti kampus yang positif.

Pada akhir program, suasana dipenuhi dengan semangat kesatuan dan harapan. Pelajar baharu menunjukkan keyakinan untuk meneruskan perjalanan mereka di UiTM sambil membawa aspirasi baru dalam diri masing-masing. FBM Unite telah membuktikan bahawa dengan bimbingan dan sokongan kolektif, FPP mampu melahirkan pemimpin masa depan yang berdedikasi dan berdaya saing.