Family Day FPP UiTM Raub: Memupuk Silaturahim Dan Kesihatan Holistik

Raub, 15 Disember 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub melalui Business Society sesi 2023/2024 telah berjaya menganjurkan Program Family Day bertemakan “Reuniting Hearts, Building Bridges” pada 15 Disember 2024. Program ini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara mahasiswa dan pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), selain memupuk nilai kerjasama dan gaya hidup sihat. Program ini telah dilaksanakan kali ketiga secara tiga tahun berturut-turut. Bertempat di padang bola sepak kampus, acara ini menyaksikan penglibatan aktif lebih 200 peserta terdiri daripada pelajar dan pensyarah. Program dimulakan seawal jam 7.00 pagi dengan pendaftaran peserta dan ucapan perasmian oleh tetamu kehormat, Dr. Mohd Samsuri bin Ghazali, Koordinator Pengajian Perbankan, Pusat Pengajian dan Perbankan UiTM Raub. Aktiviti senamrobik turut diadakan sebagai pembuka tirai untuk memupuk semangat kesihatan.

Sepanjang hari, pelbagai permainan menarik dijalankan, antaranya No Hands No PantsMulut Itik, dan Cedok Tepung. Semua aktiviti adalah dirancang bagi menghasilkan satu platform semangat setiakawan dan muhibbah antara mahasiswa. Antara pengisian program ini meliputi aspek aktiviti sukan dan berkumpulan. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menguji kemahiran komunikasi dan kepimpinan pelajar tetapi juga memberikan keceriaan kepada semua yang terlibat. Pengarah program, Encik Amar Irfan Bin Ramli, menyatakan bahawa penganjuran Family Day ini selari dengan matlamat Sustainable Development Goals (SDG) khususnya dalam aspek kesihatan mental dan fizikal.

“Kami berharap program seperti ini dapat menjadi platform untuk mahasiswa melepaskan tekanan pembelajaran sambil membina hubungan yang lebih akrab dengan pensyarah,” tambahnya.

Acara kemuncak merupakan majlis penyampaian hadiah yang mana tiga kumpulan terbaik menerima hamper sebagai penghargaan. Hadiah turut disumbangkan kepada 17 peserta bertuah sebagai saguhati. Penutupan program disempurnakan oleh Dr. Norulhuda Binti Tajuddin, Koordinator Kursus Perniagaan, yang juga memuji usaha jawatankuasa pelaksana dalam menjayakan acara ini.

Para peserta rata-rata melahirkan rasa puas hati dan mengharapkan lebih banyak acara seperti ini dikekalkan pada masa hadapan. Salah seorang peserta berkata, “Program ini mengingatkan kami bahawa universiti bukan hanya tentang belajar, tetapi juga membina kenangan dan hubungan yang bermakna.”

Secara keseluruhan, program ini dapat dijalankan dengan jayanya melalui bantuan daripada semua pihak. Pihak Business Society berharap program ini memberikan dampak yang baik kepada semua mahasiswa dan memberikan ruang untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh mahasiswa dimana kesihatan fizikal dan mental dilihat sebagai perkara penting pada masa kini. Dengan kejayaan Family Day 2024, UiTM Raub terus komited dalam memperkasakan pengalaman holistik untuk warganya. Program ini membuktikan bahawa aktiviti santai seperti ini mampu menyumbang kepada kesejahteraan kesihatan dan hubungan sosial.

Penulis: (1) Siti Syamira Binti Mohd Ramli, (2) Wan Nurashikin binti Mahmood