Pada 18 Mei 2024 yang lalu, persatuan D’Bankers UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah telah mengadakan program “Family Day” yang melibatkan semua pelajar dari Diploma Pengajian Perbankan. Seramai 78 orang pelajar yang telah menyertai program tersebut. Program ini berdurasi selama 9 jam bermula pada jam 7.30 pagi sehingga 4.30 petang bertempat di Gelanggang Bola Jaring dan Dewan Sri Balau, UiTM Mukah. Program ini dianjurkan oleh Persatuan D’Bankers dan turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Penasihat Kelab D’Bankers, UiTM Mukah iaitu Encik Azlan Yusof Punding. Pelbagai aktiviti yang menarik telah dianjurkan dalam program “Family Day” ini termasuklah permainan pass the cup, rubber collection, fill the water, tarik tali dan explorace.
Tujuan utama pelaksanaan program ini adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat kerjasama yang tinggi di antara para pelajar Diploma Perbankan UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah. Selain itu, program ini mendedahkan peserta kepada pentingnya sikap bekerjasama dalam kumpulan kerana program ini mementingkan strategi yang mantap yang dirancang secara berkumpulan. Secara tidak langsung, program ini memberi peluang kepada para pelajar Diploma Pengajian Perbankan untuk bersaing secara sihat antara satu sama lain. Melalui program ini, terdapat pelbagai pengajaran yang diperolehi oleh para pelajar. Antaranya ialah, dapat mempelajari ilmu pengurusan masa dengan sebaik mungkin serta dapat belajar kepentingan kerjasama dalam menjayakan sesuatu pekerjaan. Akhir sekali, melalui penganjuran program ini juga, para pelajar dapat belajar bertoleransi antara satu sama lain terutamanya antara ahli kumpulan.