UiTM KAMPUS TAPAH, 26 JANUARI 2024 – Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah telah menerima undangan dari entiti perundingan, Aurecon Lestari Sdn Bhd untuk menyertai sesi penerangan dan sumbang saran berkaitan Pelan Pengurusan Biodiversiti Lhoist Malaysia.
Sesi yang dijalankan secara atas talian itu dihadiri oleh Dr Hasnun Nita Ismail, Dr Ahmad Nazib Alias, Dr Fathiah Abdullah dan En Dzulsuhaimi Daud, selaku wakil Fakulti Sains Gunaan (UiTM kampus Tapah). Manakala, Aurecon Lestari Sdn Bhd selaku tuan rumah, diwakili oleh En Oh Ka Jun, Cik Charmaine Lim, Cik Aqilah Zayanah Zohdi, En YV Gopalakrishna dan En Mohamed Rashed Mohamed Ali Reza.
Aurecon Lestari Sdn Bhd merupakan syarikat perunding alam sekitar yang telah dilantik oleh Lhoist Malaysia Sdn Bhd untuk menjalankan kajian Pelan Pengurusan Biodiversiti bagi tapak kuari yang terletak di Lhoist Malaysia, Tapah, Perak. Objektif kajian yang dijalankan adalah untuk mendapatkan pemahaman akan kawasan kajian dari segi operasi dan kepelbagaian biologi serta merangka pelan pengurusan dan pemuliharaan sumber biodiversiti yang mampan.
Beberapa isu pokok telah dibincangkan dan diperincikan dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang satu jam itu. Perbincangan dimulakan dengan pembentangan dapatan kajian oleh pihak Aurecon Sdn Bhd, diikuti dengan maklum balas dari pihak Fakulti Sains Gunaan (UiTM kampus Tapah). Wakil fakulti telah berbesar hati untuk memberi beberapa saranan dan buah fikiran bagi memantapkan lagi dapatan kajian tersebut.
Disamping itu, turut disentuh dalam perbincangan adalah impak operasi kuari kepada UiTM kampus Tapah jika ada, serta peluang atau ruang untuk Fakulti Sains Gunaan (UiTM kampus Tapah) untuk berkolaborasi dengan Aurecon Lestari Sdn Bhd dalam kajian semasa, mahupun kajian yang akan datang.
Semoga pertemuan kali pertama ini memberi impak positif kepada kesemua pihak yang terlibat, dan membuka ruang bagi tujuan kolaborasi. Fakulti Sains Gunaan (UiTM kampus Tapah) sentiasa bersedia untuk berkongsi kepakaran dan menyumbang ke arah ‘win-win situation’.
Terima kasih Aurecon Lestari Sdn Bhd di atas jemputan.