Fakulti Perubatan UiTM dan Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) Menjalin Kerjasama Melalui Memorandum Persefahaman (MoU)

SHAH ALAM, 14 JUN 2024 – Majlis Menandatangani dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) bakal menyaksikan kerjasama dua hala antara kedua-dua buah universiti khususnya dalam bidang perubatan. Majlis yang penuh bersejarah itu telah disempurnakan pada 14 Jun 2024 bertempat di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam.

Memorandum tersebut ditandatangani oleh Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin – Naib Canselor UiTM bersama Profesor Dr. Wan Mohd Azizi bin Wan Sulaiman – Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI). Turut hadir bersama menyaksikan Majlis Memorandum Persefahaman ini ialah Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti & Alumni), UiTM. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Mohamed Salleh Mohd Yasin, Pengerusi Lembaga Pengelola UCMI, Prof. Dr. Mohd Nazil Salleh, Timbalan Naib Canselor Akademik, Penyelidikan & Pengantarabangsaan UCMI, Prof. Madya Dr. Nurul Aliah Mustafa, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UCMI serta barisan pengurusan dari Fakulti Perubatan UiTM serta UCMI.

Permulaan kerjasama ini akan membuka peluang kepada pelajar Asasi UCMI untuk melanjutkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan di Fakulti Perubatan UiTM dengan penawaran biasiswa penuh MAIWP melalui saluran komersial yang dinamakan UiTM Seat Plus. Saluran komersial ini merupakan saluran baharu yang diperkenalkan dan melibatkan beberapa Fakulti di UiTM dimana program pengajian ditawarkan dengan kadar yuran pengajian tanpa subsidi.

Menerusi perjanjian ini juga, kerjasama pendidikan bagi program peringkat pascasiswazah Fakulti Perubatan UiTM juga dapat dijalinkan disamping pertimbangan bagi perancangan kerjasama dengan fakulti, kolej pengajian dan pusat akademik di UiTM selaku universiti kompehensif yang terbesar di Malaysia yang mempunyai 34 kampus, 4 kolej pengajian dan 14 fakulti dan 9 pusat akademik di seluruh negara yang dilihat berpotensi tinggi kepada UCMI pada masa akan datang.