Seramai 18 orang sukarelawan Fakulti Perladangan & Agroteknologi (FPA), UiTM Kampus Jengka telah menyertai misi bantuan pasca banjir UiTM Cawangan Pahang bagi membantu membersihkan rumah yang terbabit banjir di kalangan pelajar fakulti. Misi bantuan ini yang terdiri daripada pelajar tahun akhir DPIM, para pensyarah, kakitangan Unit Pengurusan Ladang (UPL) dan Unit Kenderaan (UK) UiTM Kampus Jengka telah bersama-sama bergotong royong di rumah mangsa banjir di sekitar Kg. Tanjung Kerayong dan Taman Sagumpas di Mentakab, Pahang bermula pada 27 hingga 28 Disember 2021 yang lalu.
Pensyarah Fakulti Perladangan & Agroteknologi UiTM Kampus Jengka yang juga Penasihat Persatuan Planters’ Guild, Pn Noorshilawati Abdul Aziz, berkata bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban pelajar yang terkesan banjir sejak Sabtu lalu. Untuk rekod seramai tiga orang pelajar FPA telah terjejas akibat banjir di kawasan tersebut dimana hampir keseluruhan rumah mereka ditenggelami banjir hingga paras bumbung. Katanya lagi, banjir ini adalah yang kedua melanda kampung mereka untuk tahun 2021 menyebabkan keadaan rumah menjadi lebih teruk.
Antara aktiviti pembersihan yang dilakukan termasuklah membuang perabot yang telah rosak, mengelas peralatan dan pakaian yang masih boleh diguna semula serta membersihkan lumpur di dinding dan lantai rumah. Walaupun menghadapi masalah bekalan air yang perlahan, aktiviti pembersihan ini telah berjaya dipergiatkan selama dua hari bermula seawal jam 9.30 pagi dan berakhir jam 4.00 petang.
Selain membantu membersih dan mengemas rumah, Fakulti Perladangan & Agroteknologi UiTM Kampus Jengka dengan kerjasama Persatuan Planters’ Guild turut menyampaikan sedikit sumbangan kewangan kepada keluarga pelajar yang terkesan bagi meringankan beban yang ditanggung akibat kerosakan bencana itu.
Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah diucapkan kepada semua sukarelawan serta pensyarah FPA, kakitangan UPL dan UK yang terlibat secara langsung atau tidak langsung yang telah menghulurkan bantuan samada dalam bentuk tenaga mahupun wang ringgit dalam menjayakan misi bantuan pasca banjir kali ini.