Matlamat Pembangunan Mampan atau Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang merangkumi kemajuan masyarakat, perlindungan sosial, kesihatan, kemiskinan, pendidikan, peluang pekerjaan, perubahan iklim dan perlindungan alam sekitar termasuk dalam 17 matlamat yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Justeru itu, bagi menyahut matlamat PBB ini untuk bidang SDG 4 iaitu Pendidikan Berkualiti, Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Pahang dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Temerloh telah melancarkan Kaunter Pengisian Borang Cukai Pendapatan (E-Filing) bagi tahun taksiran 2021 pada 22 Mac 2022 yang lalu, bertempat di lobi bangunan pentadbiran UiTM Cawangan Pahang. Program tersebut bermula pada jam 9 pagi dan berakhir pada jam 4 petang dan berjaya dilaksanakan dengan pematuhan SOP yang sangat ketat.
Objektif program ini adalah untuk membantu komuniti setempat mengisi borang cukai pendapatan melalui sistem e-filing serta memberi khidmat nasihat mengenai percukaian khususnya cukai pendapatan individu. Oleh yang demikian, 3 pegawai dari LHDN cawangan Temerloh telah dijemput sebagai fasilitator pada hari tersebut. Mereka adalah Encik Shahrizal Mohd Kamil, yang juga merupakan alumni UiTM Cawangan Pahang, Encik Mohd Firdaus Abdul Aziz dan Encik Mohd Afif Abdullah. Selain itu, 5 orang pensyarah dari Fakulti Perakaunan turut sama bergandingan bertindak sebagai fasilitator. Dari segi pelaksanaan, program kaunter e-filing ini adalah bersifat berterusan memandangkan ia diadakan setiap setahun. Dengan wujudnya program seumpama ini, Fakulti Perakaunan secara tidak langsung telah mewujudkan hubungan kolaborasi dengan pihak LHDN.
Untuk edisi pada kali ini, seramai 65 peserta telah mengunjungi kaunter e-filing tersebut. Pelbagai jenis perkhidmatan yang mereka perolehi, termasuklah membuka fail cukai pendapatan, menukar kata laluan bagi mereka yang telah lupa kata laluan asal dan konsultansi cara pengisian borang e-filing. Rentetan daripada situasi pandemik Covid-19 yang masih berada pada tahap yang membimbangkan sekarang, program tersebut dilaksanakan dalam skala yang kecil dan hanya tertumpu kepada komuniti dalaman iaitu staf UiTM sahaja dan tidak terbuka kepada orang awam diluar UiTM. Namun demikian,sambutan hangat masih diberikan oleh para peserta dan pihak fakulti perakaunan bercadang untuk meneruskan aktiviti ini pada masa akan datang.
Melalui program ini, FPN turut memenuhi memenuhi PI 84 – Number of University Social Responsibility programmes (USR), PI 87 -Total amount spent (from own funds) for Social Responsibility programmes (USR) and Knowledge Transfer Programmes (KTP), PI 88 – Number of communities receiving/benefiting from the knowledge/technology diffusion projects dan PI 89 – Number of alumni expert service programme.
Jawatankuasa Pelaksanaan program juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada LHDN cawangan Temerloh serta para peserta atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan program ini.