FAKULTI PERAKAUNAN UiTM CAWANGAN PAHANG MEMBUDAYAKAN PENDIDIKAN CUKAI BERSAMA LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA PAHANG MELALUI PROGRAM SAHABAT HASIL

JENGKA, 28 Oktober 2023 – Pada 24 Oktober 2023, Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang telah mengadakan lawatan akademik ke Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Pahang (Lokaliti Kuantan). Program lawatan ini diadakan sempena program Sahabat Hasil yang dianjurkan oleh LHDNM. Seramai 70 orang pelajar bahagian 5 Diploma Perakaunan telah menyertai program lawatan ini bersama 4 orang pensyarah pengiring yang terdiri daripada pensyarah Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang iaitu Prof Madya Dr Mohamad Azmi Nias Ahmad selaku Ketua Pusat Pengajian, Puan Syahida Md Zeni, Puan Anis Barieyah Mat Bahari dan Tuan Hj Azizi Hashim.

Program lawatan akademik ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang fungsi LHDNM yang bertanggungjawab untuk mengutip dan mentadbir cukai langsung negara. Ia juga diharap dapat memberi pendedahan kepada pelajar mengenai praktis yang diamalkan oleh industri dalam pengiraan cukai pendapatan syarikat di Malaysia. Selain itu, melalui program ini, pelajar dapat berinteraksi secara terus dengan pegawai dan staf LHDNM sebagai persediaan untuk mereka meneroka peluang pekerjaan selepas tamat belajar.

Seawal 7.00 pagi, 2 buah bas dari UiTM Kampus Jengka telah bertolak ke LHDNM (Lokaliti Kuantan) dan telah tiba sekitar 9.15 pagi. Pada pukul 9.30 pagi, acara dimulai dengan ucapan aluan dari wakil pegawai LHDNM (Lokaliti Kuantan) iaitu Encik Muslih bin Aling. Beliau turut memperkenalkan beberapa orang pegawai LHDNM yang merupakan alumni UiTM Kampus Jengka iaitu Encik Muhamad Assif Bin Abdullah (alumni AC110 dan AC220) dan Encik Mohd Fairuz Bin Mohammad Fauzi (alumni BM111) yang sekarang berkhidmat di LHDNM Pahang di Bahagian Operasi Negeri Seksyen Khidmat Pelanggan.

Seterusnya ucapan dari Pengarah Operasi Negeri Seksyen Khidmat Pelanggan LHDNM Pahang, Puan Roszita binti Ismail (Alumni UiTM Shah Alam). Beliau turut mengalu-alukan kedatangan rombongan dan melahirkan ucapan penghargaan atas kolaborasi dan hubungan mesra antara Fakulti Perakaunan UiTM Kampus Jengka dan LHDNM. Antara intipati ucapannya, beliau memaklumkan LHDNM menggunakan pendekatan AES (Awareness, Education and Services) dalam memberi pendedahan berkenaan percukaian kepada orang awam.

Seterusnya, taklimat hal percukaian syarikat dan juga peluang pekerjaan di LHDNM telah disampaikan oleh Encik Muhammad Hanis Bin Bahru Ruzi serta dibantu oleh Encik Muslih Bin Aling, Encik Muhamad Assif Bin Abdullah, Encik Mohd Fairuz Bin Mohammad Fauzi, Cik Wan Yuhaniz Binti Wan Jusoh @ Wan Nor, Puan Sazalina Binti Mohd Najib dan Encik Jusoh Bin Ibrahim. Taklimat ini juga turut disertakan dengan beberapa permainan interaktif seperti kuiz menggunakan Kahoot dan permainan bola beracun. Pelajar-pelajar begitu teruja untuk menjawab soalan kuiz ini. Tayangan video pendek berkenaan percukaian turut disajikan. Sebelum berakhir, majlis penyampaikan cenderahati antara kedua-dua pihak dilaksanakan. Seterusnya, sesi bergambar beramai-ramai dirakamkan di dalam dewan.

Pada pukul 1 petang, para rombongan dijemput untuk menikmati jamuan makan tengahari bersama dengan pegawai LHDNM. Sebelum bergerak pulang, rombongan dibawa melawat ke kaunter-kaunter di aras bawah LHDNM Pahang untuk memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan suasana harian di kaunter LHDNM Pahang. Sekitar 2.30 petang, para pelajar dan pensyarah telah bertolak pulang ke UiTM Jengka.

Berdasarkan maklumbalas dari pelajar, program separuh hari ini telah mencapai objektif seperti yang dirancang. Semoga semua input yang diperolehi dapat dimanfaatkan oleh pelajar dalam mendalami kursus percukaian dan diaplikasikan dalam kehidupan mereka. Program lawatan ini juga diharap dapat menjadi pemangkin ke arah jalinan kerjasama lebih mesra di antara UiTM dan LHDNM dalam memberi pendedahan dan kesedaran berkaitan hal ehwal percukaian negara.

Program lawatan akademik ini telah memenuhi PI080 Number of alumni expert service programme. Ia juga sejajar dengan Sustainable Development Goal (SDG) 4 Quality Education yang menekankan mengenai pendidikan berkualiti dan pembelajaran secara berterusan. Berdasarkan pelan strategik universiti, program seumpama ini dapat mengukuhkan misi jangka panjang UiTM agar berperanan lebih proaktif dalam membudayakan nilai teras SDG tanpa membataskan peranannya hanya sebagai pusat penyebaran ilmu. Semoga jalinan industri antara UiTM dan LHDNM akan berterusan pada masa akan datang.