Fakulti Pendidikan, UiTM dan Fakulti Sains Sosial, UniSZa Bincang Isu Kecelaruan Gender

Panel yang terlibat dalam Kembara Eksperimen Sosial UniSZA

Pada 23 Oktober 2019, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam telah menerima kunjungan 67 pelajar jurusan Antropologi dan Dakwah dari Fakulti Sains Sosial, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa), Kuala Terengganu.

Salah satu pengisian Kembara Eksperimen Sosial UniSZA ini adalah forum ‘Gender dan Pendidikan dalam Perspektif Islam’ anjuran Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pendidikan. Panelis forum terdiri daripada Dr. Wan Nor Jazmina Wan Ariffin dari UniSZa; Dr. Fatin Aliana Mohd Radzi dan Puan Nadia Ainuddin Dahlan dari Fakulti Pendidikan; serta Dr. Rohaya Abdul Wahab dari Fakulti Pendidikan selaku moderator forum.

Antara Pelajar UniSZA yang hadir di UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam

Selain para pelajar UniSZa, forum turut dihadiri pelajar Pendidikan Sains (Biologi) dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Fakulti Pendidikan. Para pensyarah dari Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) juga turut hadir ke majlis ilmu ini.

Intipati forum antara lain membincangkan perspektif gender dalam bidang pendidikan memandangkan wujudnya isu-isu seperti kecelaruan gender, peranan dan identiti gender di kalangan pelajar di Malaysia. Selain itu, isu-isu sosial seperti peranan sosial wanita dan lelaki turut diketengahkan. Keseluruhan isu ini kemudiannya dikaitkan pula dengan pemahaman dan pandangan Islam.

Sesi bergambar untuk kenangan

Para peserta rata-rata berpendapat forum ini antara lain berjaya membuka satu ruang perbincangan kepada para pelajar dan pensyarah dari kedua-dua universiti untuk membincangkan isu kecelaruan gender yang semakin menular di kalangan pelajar di Malaysia dan bagaimana cara mengatasinya melalui pendekatan dakwah.

Justeru itu, forum ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada pelajar Fakulti Pendidikan yang rata-rata akan menjadi pendidik kelak dan kepada pelajar UniSZa dalam misi berdakwah.

1
0