Fakulti Pendidikan Raikan 3 Delegasi Melalui Global Wellness Leadership Week (GWLW) 2024 dalam Memperkasa Literasi Kesihatan Mental

Puncak Alam, 15 Mei 2024- Sekretariat Mahasiswa Fakulti Pendidikan (SMFP) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor telah menjalankan Global Wellness Leadership Week 2024 (GWLW) bertempat di sekitar UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam selama 4 hari bermula 15 sehingga 18 Mei 2024. GWLW merupakan sebuah program yang julung kalinya dianjurkan dan melibatkan mahasiswa daripada pelbagai fakulti seperti di dalam dan luar negara bagi mencapai matlamat berikut:

  1. Memupuk kesedaran tentang kepentingan menjaga nilai kesihatan khususnya bahaya penggunaan bahan berbahaya dan kepentingan kesihatan mental
  2. Menyediakan pengalaman pembelajaran yang memberikan inspirasi dan motivasi kepada pelajar untuk mengambil tindakan positif
  3. Menyertai forum kepimpinan mahasiswa bersama pemimpin pelajar universiti antarabangsa
  4. Memupuk kerjasama silang budaya dalam kalangan pelajar universiti dari negara yang berbeza dengan matlamat untuk menggalakkan persefahaman bersama.

Seramai 51 orang ahli jawatankuasa yang terdiri daripada MPP Fakulti Pendidikan, SMFP dan wakil-wakil daripada fakulti lain seperti Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Fakulti Sains Gunaan, Fakulti Pergigian, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Fakulti Perakaunan, Fakulti Perubatan dan wakil daripada UiTM Kampus Jengka. Turut diraikan delegasi pensyarah dan mahasiswa daripada Universitas Negeri Jakarta (UNJ), Universiti Burapha, Thailand (BUU) dan Universitas Singaperbangsa Karawang (UNSIKA) sebagai penglibatan antarabangsa dalam menggembleng tenaga bagi merealisasikan enam rukun Malaysia Madani. Rata-rata daripada mereka merupakan mahasiswa Fakulti Pendidikan, Fakulti Ekonomi dan Fakulti Ilmu Sosial.

Delegasi daripada UNJ, BUU dan UNSIKA turut terlibat dalam beberapa aktiviti yang telah dirancang termasuklah Global Wellness Leadership Week Closing Ceremony, International Volunteerism, Innovation Forum & Leadership Symposium, Teaching Aids, #CityXplore, E-Sports Competition dan Ikon Muaddib Finals. Melalui #CityXplore, delegasi tersebut dibawa untuk melawat salah satu destinasi yang menjadi tarikan pelancong sama ada domestik mahupun antarabangsa, Melaka Bandaraya Bersejarah menaiki bas. Antara tempat bersejarah yang sempat untuk dikunjungi termasuklah Kota A Famosa, The Stadthuys dan Masjid Kampung Kling. Mereka mengambil peluang untuk membeli cenderamata di Pahlawan Walk Market. Peluang dan ruang yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menjalin hubungan baik antara mahasiswa Malaysia, Indonesia dan Thailand.

International Volunteerism turut diadakan di Japerun Merlimau, Melaka. Fakulti Sains Gunaan menjadi wakil dalam sesi inovasi yang bertajuk ‘Beyond the Lab’ di mana mereka menunjukkan cara membuat cecair penghalau serangga daripada bahan-bahan organik. Mahasiswa daripada UNJ turut terlibat menjadi sukarelawan dalam menunjukkan demonstrasi pembuatan cecair tersebut. Sesi Perkongsian Masakan Tradisional oleh Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan yang bertajuk ‘Traditional Cuisine’ di mana para peserta diberi peluang untuk merasa sendiri cara membuat tortilla wrap bersama daging dendeng dan kerabu daun selom.

Ikon Muaddib Finals diakhiri dengan 3 pemenang utama iaitu saudara Muhammad Khairul Rasyid Bin Yahaya dan saudara Akmal Hasif Bin Mohamad Sukri masing-masing mendapat tempat pertama dan kedua juga merupakan wakil peserta dari Fakulti Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Shah Alam. Tempat ketiga disandang oleh saudari Izzatul Afnan Binti Syaeef Fahmy dari Fakulti Sains Gunaan (FSG) Kampus Jengka UiTM Cawangan Pahang. Penutup program Global Wellness Leadership Week ini diadakan di Dewan Sri Alam, Fakulti Hotel dan Pelancongan, UiTM Kampus Puncak Alam yang turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (HEP), Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi dan Pengarah Kesihatan Negeri YBrs. Dr Ummi Kalthom Binti Shamsuddin. Turut berlangsung juga sesi pemberian Teaching Aids kepada Sekolah Angkat Fakulti Pendidikan, Sekolah Kebangsaan Puncak Alam dan penyerahan Deklarasi Leadership Symposium: ‘Substance Abuse and Mental Health Concerns Among Nowadays Youth’ oleh wakil Sekretariat Mahasiswa Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Saudara  Muhammad Ammar Khashah bin Mohammad Shahny kepada TNCHEP.

Galeri Gambar: