Fakulti Pendidikan Lakar Sejarah di dalam The Malaysia Book of Records

Tanggal 28 Ogos 2021 merupakan tarikh yang amat bermakna kepada Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), apabila nama institusi ini dengan secara rasminya tercatat di dalam The Malaysia Book of Records (MBR). Fakulti Pendidikan, melalui penganjuran Larian Virtual Rentas Desa Kebangsaan 2021 (VERDIK21), telah berjaya mengumpulkan 30,276 pelajar sekolah seluruh Malaysia untuk berlari merentas desa secara atas talian.

Direkodkan sebagai penganjur acara larian virtual dengan penyertaan pelajar sekolah paling ramai di dalam The Malaysia Book of Records (MBR), upacara simbolik penyerahan sijil MBR ini telah berlangsung semasa Majlis Penutupan Larian Virtual Rentas Desa Kebangsaan 2021 (VERDIK21) pada 28 Ogos 2021. Penyerahan sijil secara simbolik telah disempurnakan oleh En. Edwin Yeoh Tiong Chin, Pengurus Operasi Penyelidikan dan Pemasaran, MBR, dan telah diterima oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Roziah Mohd. Janor, Naib Canselor UiTM.

VERDIK21 dianjurkan atas rasa tanggungjawab sosial Fakulti Pendidikan dalam memastikan kelangsungan aktiviti yang berpaksikan sukan, jasmani dan kesihatan di sekolah. Wabak pandemik Covid-19 bukan sahaja menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran sekolah-sekolah di Malaysia malah turut menganggu gugat pelbagai aktiviti yang berteraskan pembangunan minda, rohani dan kecerdasan pelajar. Salah satu bidang yang turut terkesan ialah pelaksanaan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Sebilangan besar pelajar tidak dapat menyempurnakan merit PAJSK mereka akibat pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang turut terjejas. Melalui VERDIK21, pelajar melengkapkan larian secara atas talian (virtual) di kediaman masing-masing dan data larian mereka diterima untuk direkodkan sebagai memenuhi keperluan PAJSK. Larian secara virtual ini merupakan alternatif kepada acara merentas desa yang lazimnya dijalankan di sekolah sebelum pandemik melanda.

Fakulti Pendidikan ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada rakan kolaborasi penganjuran iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Selangor. Terima kasih juga kepada jabatan -jabatan  Pendidikan Negeri seluruh Malaysia yang turut menjayakan VERDK21. Semoga kerjasama ini dapat dipanjangkan ke VERDIK22 dengan jumlah penyertaan yang lebih luar biasa.